Diam tak diam, HTC kembali ke persada telefon pintar dengan melancarkan flagship terbaru mereka, HTC U12+. Jangan tersilap, walaupun ada + di belakang namanya, hanya satu model sahaja yang diperkenalkan kali ini.
HTC U12+ hadir dengan semua ciri-ciri flagship terbaik di pasaran. Dimulakan dengan penggunaan cip pemproses Snapdragon 845 bersama modem X20 LTE, RAM DDR4 6GB dan storan dalaman UFS2.1 seluas 64GB atau 128GB. Ia turut menyokong tambahan kad mikroSD sehingga 2TB.
Skrin HTC menggunakan paparan Super LCD 6, berukuran 6.0-inci beresolusi tajam Quad HD+ 2880×1440 dengan nisbah 18:9. Paling penting, tiada takuk di dahi.
Rekaan badannya mengekalkan penggunaan konsep Liquid Surface yang licin hujung ke hujung. Tiga warna diperkenalkan bermula dari Translucent Blue yang telus cahaya menampakkan perkakas di dalam, bersama Ceramic Black dan Flame Red. Ia juga kalis air dan debu dengan pengiktirafan IP68.
Butang kuasa dan bunyi masih terdapat di sisi, tetapi ia bukan lagi butang biasa yang ditekan. HTC telah mengubahnya menjadi butang sensitif tekanan, sama seperti butang Home iPhone 8. Kurang rasa menekan tetapi digantikan dengan getaran.
Telefon ini mengekalkan fungsi unik memicit di sisi, kini dinaik taraf menjadi Sense Edge 2. Lebih banyak aksi boleh dilakukan dengan memicit sisi telefon, tidak perlu lagi tangan kedua.
Sistem bunyi banyak mewarisi dari model sebelumnya, termasuk ketiadaan port audio 3.5mm. Teknologi BoomSound Hi-Fi dan Hi-Res audio disalurkan ke speaker atau melalui USB-C ke fon kepala. HTC turut memberi fon kepala anti-hingar aktif USonic. Untuk audio Bluetooth, ia menyokong teknologi Qualcomm aptX dan LDAC Hi-res sehingga 32-bit.
Sistem operasi Android 8.0 Oreo dengan antara muka HTC Sense digunakan, dan ia sedia dinaiktaraf ke Android P apabila dilancar kelak. Baterinya kini sebesar 3,500mAh dan menyokong pengecasan pantas Quick Charge 3.0 melalui USB-C, yang boleh memenuhkan 50% kapasiti dalam 35 minit.
Bahagian kamera adalah ruangan yang mahu ditekankan HTC, kerana terlalu banyak perkara yang dimuatkan padanya. Lebih-lebih lagi ia kini memiliki dua lensa di belakang serta dua lensa di hadapan.
Kamera belakang HTC U12+ dilengkapi sensor HTC UltraPixel 4 12MP F1.75 dengan saiz piksel 1.4-mikron di lensa utama, serta sensor 16MP F2.6 1.0-mikron telefoto di lensa kedua. Ini memberinya keupayaan zum optikal 2x dan menyokong zum digital hingga 10x. Sistem fokus ultra pantas gabungan laser dan pengesanan fasa, dipakejkan menjadi UltraSpeed Autofocus 2. Ia turut memiliki penstabil imej optikal (OIS) dan elektronik (EIS), dan akhir sekali dwi-LED Flash.
Spesifikasi ini memang nampak sangat canggih, jauh meninggalkan kamera telefon yang lain. Laman perbandingan kamera DxOMark, memberi 103 markah kepada HTC U12+, tertinggi untuk kamera telefon pintar dengan dwi-lensa. Tapi masih di belakang Huawei P20 Pro yang memiliki tiga lensa kamera.
Untuk rakaman video pula, ia boleh merakam sehingga resolusi 4K pada 60fps, atau HD Penuh 1080p pada 240fps untuk rakaman gerak perlahan.
Bagi kamera hadapan, dwi-lensanya menggunakan sensor 8MP F2.0 1.12-mikron dengan sudut lebar 84-darjah. Ia boleh merakam gambar dengan mod bokeh masa nyata, serta menyokong pengecaman wajah Face Unlock, untuk membuka kunci skrin.
Memang canggih betul bila dibaca bermacam teknologi yang ada pada HTC U12+ ni. Tapi ia masih terdapat sedikit kekurangan berbanding flagship jenama lain seperti sokongan pengecasan wayarles dan juga rakaman video super gerak perlahan 960fps. Tetapi tidak dapat disangkal ia tergolong dalam kategori flagship premium.
HTC U12+ akan mula dijual di Malaysia pada akhir Jun ini, bermakna selepas Hari Raya. Tetapi tidak pula dinyatakan harganya. Untuk perbandingan, HTC U11+ dilancarkan di Malaysia dengan tanda harga RM3,099. Adakah HTC U12+ akan mengekalkan harga pelancaran yang sama?
Kita nantikan pengumuman lanjut dari HTC Malaysia kelak tentang tarikh jualannya di Malaysia. Sementara itu, boleh semak laman produk HTC U12+, atau tonton video pengenalan di bawah untuk maklumat lanjut.