Siri nova dalam penawaran telefon oleh Huawei memang terkenal dengan harga mampu milik serta kualiti binaan yang utuh. Terdapat beberapa ahli nova yang menjadi sebutan ramai seperti nova 2i, telefon kuadkamera pertama dunia dan nova 2 plus, telefon versi lite kepada P10. Untuk tahun 2018, Huawei mempertaruhkan nova 2 lite dan yang terbaru nova 3e untuk memeriahkan segmen kelas pertengahan di Malaysia.
Sebuah nova 3e singgah di meja editor kami untuk dipandu uji. Di Malaysia, hanya satu varian saja yang dijual iaitu yang memiliki storan 128GB. Kalau anda nak tahu, ia adalah telefon mid-range 128GB termurah dalam pasaran setakat ini sewaktu dilancarkan.
Adakah telefon ini mampu menggalas reputasi nova selaku telefon mid-range terbaik Huawei?
Kita teruskan ke reka bentuk telefon ini.
Reka Bentuk
Rangka badan nova 3e diperbuat daripada besi dan bahagian depan serta belakangnya diselaputi kaca Corning Gorilla. Kehadiran notch dan pengguaan paparan 19:9 memungkinkan bahagian depan berbingkai nipis.
Anda menerima sebuah telefon dengan paparan sebesar 5.84″ beresolusi HD Penuh. Ia menggunakan panel TFT LCD berbanding OLED yang digunakan pada varian yang lebih mahal. Tapi ia tidak bermakna gambar yang terhasil tidak menawan.
Huawei nova 3e hadrid alam warna Midnight Black dan Klein Blue tapi yang diterima kami adalah yang berwarna hitam.
Pengimbas cap jari diletakkan pada bahagian belakang telefon tempat jari telunjuk anda mudah mengakses semasa telefon sedang digunakan.
Pada bahagian bawah, anda boleh menemui port audio 3.5mm yang mengapit port USB-C bersama-sama jeriji speaker.
Ini adalah spesifikasi Huawei nova 3e
Apakah perasaannya menggunakan Huawei nova 3e?
[nextpage title=”Pengalaman Guna & Hayat Bateri”]
Disebabkan ia diletakkan dalam kelas bajet untuk menemani P20 dan P20 Pro menempuhi kancah 2018, harapan yang tinggi tidak seharusnya diletakkan pada bahu nova 3e untuk pengalaman mengguna yang cemerlang. Jika anda memerlukan sebuah telefon yang berupaya melakukan tugasan berat, anda seharusnya menoleh pada P20 dan P20 Pro.
Jika anda menggunakan nova 3e berbekalkan persepsi tersebut, anda akan dapati yang nova 3e adalah sebuah mesin yang boleh diharapkan. Ia mampu menjalankan APP medsos dengan lancarnya dan jika ingin melakukan penyuntingan gambar sebelum berkongsi, Snapseed turut berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Untuk gaming pula, agak sukar untuk menyarankan telefon ini untuk tujuan tersebut. Berbanding telefon ber-Snapdragon 625 yang saya gunakan untuk bermain Mobile Legends dan PlayerUnknown’s Battleground Mobile, ia terpaksa berusaha lebih untuk memberikan hasil gambar yang licin. Saya mengalami frame drop terutama melibatkan banyak pergerakkan yang berlaku di atas paparan.
Perkara itu tidak berlaku pada telefon ber-Snapdragon yang saya cuba seperti Xiaomi Mi A1 dan ASUS Zenfone 4 Selfie Pro.
Besar kemungkinan GPU Mali yang dimiliki Kirin 659 tidak cukup berkuasa untuk menampung render 3D secekap Adrena pada Snapdragon.
Sungguhpun begitu, jika gaming adalah pemberat yang paling bawah dalam senarai prioriti pembelian telefon, nova 3e semestinya perlu berada dalam 3 teratas telefon yang anda perlu pertimbangkan.
Untuk kualiti kamera, saya memberikannya satu seksyen khas kerana Huawei dan fotografi mudah alih tidak boleh dipisahkan. Tapi sebelum itu, mari kita lihat pada hayat prestasi bateri nova 3e.
Hayat Bateri
Saya ingin melaporkan yang hanyat bateri pada nova 3e adalah baik. Tiada masalah kepanasan dirasai semasa bermain dan screen-on-time (SOT) yang diperoleh untuk satu isian penuh bateri adalah sekurang-kurangnya 3 jam dengan penggunaan kasual.
Seperti biasa, panel paparan menelan paling banyak bateri diikuti dengan modem selular. Pada telefon ini, saya menggunakan kedua-dua slot SIM.
Ada pengecasan pantas pada telefon ini dan ia memiliki rating 9 V, 2 A (18 W) pada blok mengecas. Unit reviu yang diterima kami tidak disertakan dengan blok pengecas. Jadi kami mengecas menggunakan kabel USB pihak ketiga dan pegencas 5 V, 2 A (10 W).
Untuk pengecasan menggunakan 10 watt tenaga, wasa yang diambil untuk mengecas penuh nova 3e semasa bateri hampir 0% adalah hampir 2 jam ataupun lebih tepat, 117 minit.
Rumusan daripada satu kitar mengecas penuh nova 3e adalah seperti berikut:
- 30 minit mengisi 30% bateri
- 50% mengambil masa 49 minit
- 100% mengamgil masa 117 minit
Tapi jika anda membeli set lengkap dan mengecas menggunakan tenaga 18 watt, pastinya masa mengecas yang akan anda alami jauh lebih pantas daripada graf. Sebagai perbandingan pada Huawei P20 yang kami reviu tempoh hari, mengecas bateri 3,400 mAh yang dimilikinya mengambil masa 70 minit.
Untuk Huawei nova 3e, anda boleh jangkakan prestasi sekitar itu kerana telefon ini memiliki bateri yang lebih kecil.
Sebelum memberi kesimpulan untuk reviu nova 3e, saya ingin membawa anda ke sekseyn fotografi.
[nextpage title=”Prestasi Kamera & Kesimpulan”]
Walaupun Huawei nova 3e adalah saudara dekat pada Huawei P20, kamera pada nova 3e ada sedikit kekurangan. Ini adalah spesifikasi kamera Huawei nova 3e.
- Kamera belakang 16MP + 2MP F2.2
- Kamera depan 24MP F2.0
Pada laman rasmi produk ini pun bahagian kamera adalah antara yang paling pendek penerangan spesifikasinya. Disebabkan hardware-nya yang terhad, Huawei perlu bergantung pada software untuk meyakinkan peminatnya yang nova 3e adalah superstar swafoto mereka.
Tidak perlu diperkenalkan lagi bahawa pengalaman kamera pada produk Huawei adalah antara yang terbaik. Masih teguh dengan pendirian, APP kamera pada Huawei saya rasakan yang terbaik pada Android setakat ini daripada segi seni bina serta ciri mesra penggunannya.
Tanpa melengahkan masa, ini adalah sampel gambar daripada lensa nova 3e.
Sistem kamera bijak mengasingkan subjek daripada latar untuk menghasilkan kesan bokeh yang cantik.
Tetapi ia tidaklah sempurna kerana terdapat bahagian yang gagal dikenal pasti sebagai subjek (aiskrim)
Jika subjek terlalu hampir pun, sistem akan alami masalah memisahkan subjek dan latar dan ia adalah perkara biasa
Tiada AI pada kamera ini, jadi warnanya tidak dipekatkan apabila mengambil gambar makanan
Dengan pencahayaan yang cukup, ia adalah sebuah kamera poket yang cemerlang
Lensanya tajam dan mampu menagkap butir terperinci kulit kayu
Tahap dynamic range juga baik dan berjaya melihat subjek dibawah teduhan pada hari yang terang
Tidak seperti P20, nova 3e tidak mengesan langit dan memekatkan warna biru, anda perlu lakukannya secara manual
Dalam mode manual, kelajuan shutter yang lebih tinggi mampu memegunkan subjek yang sedang bergerak
Jarak fokal kamera pendek memberikan sudut pandang kamera yang luas
Night Mode mampu menghilangkan objek yang tidak diingini (lampu kenderaan)
Night Mode pada produk Huawei memang cemerlang merakam landskap malam
Mode Auto pun belum mampu hasilkan gambar seperti Night Mode
Ada juga mode Light Trail jika ingin hasil kreatif
Kamera depan pun boleh mensimulasikan bokeh tanpa kehadiran kamera kedua untuk mengukur kedalaman medan
Kesimpulan
Huawei nova 3e adalah satu produk yang baik daripada Huawei. Ia amat dialu-alukan dalam pasaran Malaysia bagi mengelakkan nama seperti Xiaomi memonopoli segmen pertengahan serta memberikan lebih banyak opsyen kepada pengguna.
Menerima tanda harga RM1,399 (RM1,320 selepas 0% GST), telefon ini berbaloi untuk dimiliki kerana pada harga ini, hampir tiada telefon yang memiliki rupa cantik serta spesifikasi dalaman yang tinggi. Jika tiada nova 3e, pengguna sudah tentu tersekat dengan telefon Xiaomi yang memiliki rupa paras membosankan.
Walau bagaimanapun, jika anda sedang menggunakan Nova 2i, amat sukar untuk mencadangkan pada anda supaya menaik taraf kepada telefon ini kecualilah anda sangat berminat dengan rupa parasnya kerana dalaman kedua-dua telefon ini adalah hampir sama.
Sungguhpun begitu, Huawei boleh berbangga kerana nova 3e adalah ahli kelas pertengahan dengan storan 128GB termurah dalam pasaran dan ia pastinya menarik peminatnya yang tersendiri.
Anda boleh membeli sebuah Huawei nova 3e secara dalam talian menerusi laman vmall ataupun Lazada.