Vivo X21 lebih canggih dengan pengimbas capjari atas skrin

Jenama telefon pintar rasmi Piala Dunia 2018, Vivo hari ini melancarkan telefon pintar Vivo X21 di Malaysia. Ia adalah sebuah telefon pintar dengan teknologi pengimbas capjari di atas skrin.

Skrin Vivo X21 memenuhi 90.3% bahagian depan, dengan paparan 19:9 Super AMOLED seluas 6.28-inci. Untuk mencapai tahap nirbingkai sebegini, ia memiliki takuk di atas untuk memuatkan speaker dan kamera hadapan.

Kuasa dalamannya diuruskan oleh cip Snapdragon 660, 6GB RAM dan 128GB storan dalaman. Ia turut menyokong kad mikroSD sehingga 256GB, yang berkongsi slot dengan dua kad sim.

Kamera belakang Vivo X21 mengguna dwi-lensa dengan sensor dwipiksel 12MP F1.8 + 5MP F2.4. Kamera hadapan pula 12MP F2.0 juga memiliki sensor dwi-piksel.

Baterinya 3,200mAh dan dicas melalui port mikroUSB. Ia menjalankan sistem operasi Funtouch OS 4.0 berasaskan Android 8.1 Oreo.

Vivo X21 antara peranti terawal mengunakan pengimbas capjari di atas skrin. Di Malaysia, ia yang kedua dilancarkan selepas Porsche Design Huawei Mate RS. Selain itu, ia turut dilengkapi teknologi pengecaman wajah untuk membuka kunci skrin.

Vivo turut mengekalkan kualiti audio HiFi dalam telefon pintar mereka, kali ini di vivo X21 dengan penggunaan cip audio AK4376A. Ditambah teknologi Deep Field, ia boleh menghasilkan bunyi sekeliling yang lebih mengasyikkan.

Telefon pintar Vivo X21 akan dijual di Malaysia dengan harga RM2,299 bermula 9 Jun 2018 di semua stor konsep Vivo, pengedar sah Vivo serta eksklusif di Digi.

Pembeli Vivo X21 di stor konsep Vivo boleh turut melanggan pelan Digi, di mana mereka akan menerima tambahan 5GB data sebulan selama 12 bulan. Maklumat lanjut boleh dirujuk di laman web www.digi.com.my.