Sony RX100 VI Beri Keupayaan 8X Zum Optikal Dalam Poket

Siri kamera Sony RX100 adalah kamera kompak dengan ciri-ciri premium. Ia kini menerima penambahbaikkan generasi ke-6 apabila Sony melancarkan RX100 VI untuk menggantikan RX100 V yang mereka perkenalkan pada penghujung 2016.

Terdapat beberapa perubahan yang dibawakan pihak Sony dalam interasi RX100 terbaru ini. Yang paling ketara adalah pada keupayaan mengezum optikal. Ia kini memiliki julat zum 24-200mm (8x) berbanding 24-70mm (2.9x) sebelum ini.

Sony juga memaklumkan ia memiliki sistem autofokus terpantas di dunia apabila boleh membidik fokus sepantas 0.02 saat menggunakan teknologi autofokus dual piksel.

Sensor 1″ 20MP masih digunakan pada kamera ini tetapi sistem buffer-nya telah ditambah baik. Hasilnya, anda boleh menangkap 233 keping gambar berterusan sebelum kamera terpaksa berhenti untuk memindahkan gambar masuk ke kad SD dek kehabisan memori.

Tidak banyak kamera kompak masih mengekalkan viewfinder pada badannya. RX100 VI adalah salah satu daripada yang masih menyediakan fungsi itu.

Anda boleh menggunakan viewfinder yang menggunakan paparan OLED yang tentunya membantu semasa framing dibawah cahaya matahari terang.

Untuk keupayaan menangkap video, ia boleh merakam video 4K pada kadar 30fps, 1080p pada kadar sehingga 960fps.

Apa yang menggusarkan adalah ia masih mengekalkan penggunaan bater NP-BX1. Sudahlah pada RX100 V ia memiliki hayat bateri yang agak terhad, pada VI ini pastinya lebih pendek lagi dengan kehadiran sistem autofokus baru.

Harga? Ia dijual pada paras USD 1,200 (RM4766). Untuk perspektif, RX100 V kini dijual di Malaysia pada harga RM4,338.

[Sumber: Sony]

BACA  Xperia XZ4 telefon pertama Sony dengan tiga kamera belakang