Tayang Piala Dunia yang percuma di RTM ke skrin besar dengan cara ini

Pasti anda telah sedia maklum, beberapa perlawanan Piala Dunia 2018 boleh ditonton secara percuma menerusi RTM. Malah, ia boleh ditonton di telefon pintar menggunakan aplikasi RTM Mobile di peranti Android ataupun iOS.

Tetapi bagaimana pula jika anda mahu menontonnya di skrin TV yang lebih besar? Jika anda memiliki Google Chromecast atau Android Box (seperti Mi Box) atau TV yang memiliki fungsi Cast, maka anda boleh menghantar visual RTM dari telefon pintar ke skrin TV tersebut.

Caranya mudah sahaja. Tetapi ia bukan dilakukan menerusi aplikasi RTM Mobile, sebaliknya menggunakan pelayar web. Cuma, ia hanya boleh dibuat melalui pelayar Chrome sahaja.

Mula-mula, pastikan telefon anda dan Chromecast tadi berada dalam WiFi yang sama. Kemudian, buka pelayar Chrome di telefon pintar dan pergi ke laman web myklik.rtm.gov.my. Pilih saluran yang diingini sama ada TV1 atau TV2.

Di situ, anda dapat melihat ikon Chromecast di bawah. Tekan icon tersebut dan pilih Chromecast yang berkaitan. Ia akan mula memainkan siaran TV yang anda pilih di telefon pintar, ke skrin TV yang lebih besar. Itu sahaja dan anda boleh menikmatinya sekarang.

Selain telefon pintar, cara ini juga boleh dilakukan di komputer atau laptop, tetapi perlu menggunakan pelayar Chrome juga. Malangnya, pelayar Safari dan Chrome di iOS tidak menyokong fungsi ini.

Jika anda tidak kenal apa itu Google Chromecast, ia adalah sebuah peranti kecil yang bersambung ke port HDMI di TV, dan memerlukan tenaga dari port USB. Ia perlu sambungan internet melalui WiFi dan boleh berhubung dengan telefon pintar dalam WiFi yang sama.

Beberapa aplikasi lain yang menyokong fungsi Cast adalah seperti YouTube, Netflix, iflix dan Spotify. Malah, ia juga boleh menayangkan seluruh paparan kmputer anda ke skrin besar tanpa perlu sambungan berwayar.

Google Chromecast gen-2 boleh dibeli di Lazada dari serendah RM185. Ia sangat mudah dipasang, hanya cucuk ke port HDMI di TV dan sambungkan bekalan kuasa melalui port USB atau power plug dinding.

Jangan lupa untuk semak juga senarai perlawanan Piala Dunia 2018 yang disiarkan RTM di sini.