17 Julai tarikh pelancaran OPPO Find X di Malaysia

Teka teki ketibaan OPPO Find X kini telah bertemu jawapan. OPPO Malaysia hari ini mengumumkan OPPO Find X akan dilancarkan di Malaysia pada 17 Julai 2018, jam 3.45 petang. Hampir sebulan selepas ia dilancarkan di Paris.

Seperti biasa, OPPO membuat strim siaran langsung majlis pelancaran ini menerusi Facebook OPPO Malaysia. Dan mereka yang menontonnya, bakal menerima hadiah percuma. Jangan lupa untuk semak Facebook OPPO Malaysia untuk mengetahui hadiah yang akan diberikan.

Telefon pintar OPPO Find X adalah sesuatu yang di luar norma OPPO, yang sering mencanangkan dirinya sebagai telefon pakar swafoto. Find X adalah usaha OPPO kembali ke era inovasi dengan menampilkan teknologi revolusi serba baru.

Find X menampilkan skrin nirbingkai paling luas, dengan nisbah skrin ke badan sebanyak 92.25%. Ia diperoleh dengan menyimpan modul kamera di belakang skrin, dan dikeluarkan bila perlu digunakan. Tiada takuk yang mengambil ruang skrin pada Find X.

Modul ini turut menyimpan dwi-lensa kamera belakang dan sistem pengimbas wajah 3D. OPPO menyatakan modul ini telah diuji ketahanannya membuka dan menutup, dan bergerak sepantas 0.5 saat untuk dibuka. OPPO menggunakan sensor 25MP untuk kamera hadapan Find X dan dwi-sensor 20MP+16MP untuk kamera belakang.

Kuasa dalamannya berkelas peranti utama dengan menggunakan cip Snapdragon 845, 8GB RAM dan storan sebesar 256GB. Baterinya pula 3,730mAh dan menyokong pengecasan pantas VOOC, tetapi kali ini menggunakan sambungan USB-C.

BACA  Melihat OPPO Find X "Didera" Amat Menyeriaukan

Skrin OPPO Find X juga tak kurang menakjubkan. Ia memiliki nisbah skrin ke badan sebanyak 92.25%, paparan OLED berukuran 6.4-inci, resolusi FHD+ dan melengkung di kedua belah sisi. Tetapi telefon ini tidak memiliki pengimbas capjari, dan menggunakan sistem pengimbas wajah 3D untuk membuka kunci skrin, sama seperti iPhone X.

Tetapi satu perkara terpaksa dikorbankan untuk revolusi ini. Find X tidak memiliki port audio 3.5mm. Ia juga tiada pengimbas capjari dan menggunakan pengimbas wajah 3D ala iPhone X untuk membuka kunci skrin.

Seperkara lagi, OPPO Find X edisi Lamborghini tiba sekali atau tidak? Ia adalah sebuah Find X yang diperkasa kuasa pengecas Super VOOC, yang boleh mengecas bateri 3,400mAh di dalam Find X dalam masa 35 minit sahaja, berbanding 90 minit dengan pengecas VOOC.

Di majlis pelancarannya di Paris, OPPO Find X diumumkan berharga EUR999 (~RM 4,704) dengan storan 256GB. Manakala edisi Lamborghini pula berharga EUR1,699 (~RM8,001) dengan storan 512GB. Ia juga dinyatakan akan mula dijual bermula Ogos 2018 di pasaran terpilih.

Harga peranti di Eropah memang jauh lebih mahal berbanding Malaysia kerana cukai yang agak tinggi di sana. Adakah OPPO Find X akan berharga sekitar RM4,000 sahaja, memandangkan GST berkadar 0% sahaja sekarang?

Kita tunggu pengumuman selanjutnya di majlis pelancaran OPPO Find X pada 17 Julai kelak.