vivo NEX akan dilancar di Malaysia minggu depan

Telefon pintar vivo NEX adalah satu lagi peranti yang tampil dengan revolusi baru di arena telefon pintar. Ia boleh dikatakan pesaing terdekat kepada OPPO Find X kerana kedua-duanya tampil dengan konsep skrin nirbingkai tanpa takuk di dahi.

OPPO Find X yang akan dilancarkan hari ini perlu berwaspada kerana vivo Malaysia telah mengesahkan kehadiran vivo NEX ke Malaysia, pada hujung bulan ini. Jemputan media ke majlis pelancaran vivo NEX di Malaysia telah ditetapkan pada 23 Julai 2018.

Kecanggihan vivo NEX dapat dilihat pada kamera hadapannya yang disembunyikan di dalam badan telefon, dan keluar apabila perlu digunakan. Kerana itu, ia dapat menghasilkan skrin yang meliputi 91% muka hadapan telefon.

Skrin vivo NEX menggunakan paparan AMOLED dan berukuran 6.59-inci. Ia memiliki resolusi FHD+ 2316×1080. Di dalamnya, ia memiliki cip pemproses Snapdragon 845, bersama 8GB RAM dan pilihan storan antara 128GB dan 256GB.

Kamera hadapannya yang boleh disorok menggunakan sensor 8MP F2.0 manakala kamera belakang terletak di posisi biasa, adalah dwi-sensor 12MP F1.8 + 5MP F2.4 dan memiliki penstabil imej optikal (OIS) 4-paksi. Menurut vivo, modul kamera hadapan yang boleh disorok ini boleh keluar dalam masa 1 saat dan telah diuji untuk tahan lebih dari 50,000 kali keluar masuk.

Bateri vivo NEX berkapasiti 4,000mAh dan ia dicas melalui port USB-C. Telefon pintar ini memiliki fungsi pengecaman wajah dan ia turut memiliki pengimbas capjari yang terbina di dalam skrin.

vivo NEX telah dilancar di China dengan harga jualannya RMB4,498 (~RM2,739) bagi model 128GB dan RMB4,998 (~RM3,044) untuk model 256GB. Jika tidak kisahkan harganya, yang manakah menjadi pilihan anda? vivo NEX ini atau OPPO Find X?