tapp tak perlu lagi VPN, boleh guna di iPhone dan menjadi hotspot

tapp, sebuah rangkaian digital yang diperkasakan oleh rangkaian Digi kini sudah boleh digunakan di iPhone. Semasa ia diperkenalkan pada awal tahun ini, ia tidak serasi digunakan kerana memerlukan akses ke VPN.

Hari ini, tapp menghantar emel ke penggunanya dan menyatakan ia tidak lagi memerlukan akses ke VPN. Aplikasi terkini tapp di Google Playstore tidak lagi akan memasang VPN di telefon pintar Android.

Apabila VPN tidak diperlukan, maka tapp boleh beroperasi seperti kad sim biasa. Jadi, ia kini boleh digunakan untuk berkongsi data melalui mobile hotspot, akses ke aplikasi seperti Snapchat dan Netflix serta digunakan di iPhone.

Kami sendiri telah cuba menggunakan kad sim tapp di iPhone dan ia memang berfungsi. Cuma aplikasi tapp masih tiada di Apple Appstore, jadi sebarang pembelian pelan masih memerlukan aplikasi tapp di telefon Android.

Apakah perbezaan tapp dan rangkaian yang lain? tapp memberi kebebasan kepada pengguna untuk menentukan pelan sendiri. Pengguna hanya perlu menetapkan berapa yang mahu dibayar dan berapa hari mahu digunakan. Kemudian, tapp akan memberi pilhan kepada pengguna, berapa banyak yang mahu diperuntukkan untuk data dan panggilan. Pengguna boleh memilih data keseluruhannya, atau panggilan sahaja atau berbahagi antara keduanya.

Tetapi perkara paling menarik di tapp adalah ia akan membeli semula baki data atau panggilan yang tidak digunakan dan menukarnya kepada kredit dalam kadar 65% dari harga asal. Jadi tiada data atau panggilan dibazirkan. Ini perkara kedua terbaik selepas unifi mobile kredit tak mati.

tapp juga memaklumkan mereka sedang berusaha membangunkan aplikasi iOS, mengaktifkan perayauan antarabangsa dan juga membolehkan pelanggan mengekalkan nombor mereka dengan pendaftaran keluar dan masuk rangkaian (MNP).

BACA  Memandu dengan lebih tenang bersama Google Maps dan Spotify

tapp kini menawarkan RM3 kredit dan data instagram selama 3 bulan percuma untuk pengguna baru. Jika berminat, muat turun aplikasi tapp di Google Playstore, daftar akaun baru dan pesan kad sim tapp. Caj RM1 dikenakan untuk penghantaran.

Untuk maklumat lanjut tentang tapp, lawati Facebook tapp atau layari laman web www.tapp.my.