honor Play berkuasa GPU TURBO akan datang ke Malaysia

Selepas puak komputer desktop dan laptop dilanda wabak ‘Gaming’, kini ia telah mula merebak kepada dunia telefon pintar pula apabila satu persatu pengeluar menghasilkan telefon pintar gaming mereka.

Berita terbaru yang kami terima datangnya dari saudara HUAWEI. honor tidak lama lagi akan melancarkan honor Play di Malaysia, telefon pintar yang memiliki kuasa GPU Turbo dan beberapa ciri yang khas untuk penggemar permainan mudah alih di telefon.

Apa yang membuatkan honor Play digelar telefon pintar gaming? Ini kerana ia memiliki teknologi GPU Turbo yang menjadikan pengalaman bermain game lebih lancar dan stabil. Menurut honor, GPU Turbo meningkatkan kadar bingkai sesaat (Frame Per Second – FPS) semasa bermain Mobile Legends dan PUBG Mobile.

Buat masa ini, hanya dua permainan tadi iaitu Mobile Legends dan PUBG Mobile yang menyokong teknologi GPU Turbo. Lebih banyak lagi permainan akan dilengkapi GPU Turbo di masa akan datang.

Kuasa dalaman honor Play nampak cukup perkasa. Ia menggunakan cip terbaik keluaran HUAWEI sekarang, Kirin 970 dengan kuasa NPU. Ia digandingkan dengan 4GB RAM dan 64GB storan dalaman. honor Play menerima storan tambahan melalui kad mikroSD yang berkongsi tempat dengan kad sim kedua dalam slot hibrid.

Skrin honor Play agak besar, berukuran 6.3-inci dengan resolusi HD Penuh+ 2340×1080 dalam nisbah 19.5:9 bersama takuk di atas. Baterinya pula sebesar 3,750mAh dan menyokong pengecasan pantas 9V/2A, tetapi bukan HUAWEI SuperCharge.

Sistem bunyi mengurangkan ciri-ciri gaming pada honor Play kerana ia hanyalah speaker tunggal di bawah, tetapi masih memiliki port audio 3.5mm untuk memainkan fon kepala berwayar.

Kamera bukanlah fokus utama honor Play kerana ia dilengkapi lensa berkembar di belakang, 16MP F2.2 + 2MP F2.4 untuk mengesan kedalaman dan menghasilkan gambar bokeh. Kamera hadapan juga 16MP F2.0 lensa tunggal dengan saiz piksel sebesar 2.0-mikron hasil tekologi pixel-binning. Ini memberi lebih kecerahan kepada gambar.

BACA  Huawei Y9 2019 seimbang antara bajet dan prestasi

Dengan spesifikasi begini, honor Play boleh digolongkan dalam kategori telefon pintar gaming kelas pertengahan. Ia masih jauh untuk dibandingkan dengan telefon pintar gaming seperti Razer Phone, Xiaomi Black Shark mahupun ASUS ROG Phone.

Tetapi kuasa cip Kirin 970 bersama skrin besar dan bateri yang menyokong pengecasan pantas, sedikit sebanyak memberi lebih kepuasan kepada kaki gamers. Malah, harganya juga dijangka tidak jauh berbeza dengan telefon pintar kelas pertengahan.

honor Play telah dilancarkan di China pada bulan Jun lepas, dengan harga RMB1,999 (~RM1,198) bagi model 4GB RAM dan 64GB storan. Kami jangka, harga di Malaysia tidak jauh berbeza dari ini, paling tinggi pun mencecah RM1,299.

honor Malaysia telah mengeluarkan jemputan ke honor Play fair yang akan diadakan pada 7 Ogos 2018 di Sunway Pyramid. Tarikh jualan dan harga rasmi di Malaysia pasti akan diumumkan pada acara tersebut. Nantikan berita lanjut tentangnya dari kami yang akan berada di sana.