Ini rupa Huawei Mate 20 berkuasa Kirin 980 dengan tiga kamera belakang?

Dalam masa sebulan lagi, Huawei akan melancarkan telefon pintar baru mereka dari siri Mate. Namanya telah disahkan sebagai Huawei Mate 20 dan ia akan menjadi yang pertama dikuasakan cip terbaru Huawei, Kirin 980.

Tetapi terdapat satu laporan yang menyatakan mereka telah menemui Huawei Mate 20 di pameran IFA 2018 di Berlin, Jerman. Beberapa gambar turut disertakan sebagai bukti.

Kamera belakang berbentuk 4 segi dalam susunan 2×2 merupakan tanda ia adalah Huawei Mate 20, seperti yang diwar-warkan sebelum ini. Ia adalah kamera tiga lensa bersama satu LED Flash yang disusun berbeza dari Huawei P20 Pro dalam kedudukan sebaris.

Huawei Mate 20 ini dipasang dengan casing berwarna merah jambu, dengan separuh skrin lutsinar di hadapan. Jadi tidak dapat disahkan skrin hadapannya yang dikatakan memiliki takuk kecil ala titisan air.

Seperkara lagi, casing tersebut tidak memiliki sebarang potongan tambahan di belakang mahupun di depan. Ia mungkin menandakan Huawei Mate 20 akan memiliki pengimbas capjari di dalam skrin.

Di bahagian bawah telefon, jelas kelihatan port USB-C manakala di bahagian atas, terdapat port audio 3.5mm yang hilang di Huawei P20.

Beberapa khabar angin lain tentang Huawei Mate 20 adalah seperti skrinnya berukuran 6.3-inci, menggunakan paparan AMOLED, bateri sebesar 4,200mAh dan mungkin dilengkapi pengecasan wayarles.

Huawei Mate 20 akan dilancarkan di kota London pada 16 Oktober 2018. Apakah pendapat anda tentang rekaan ini, sesuai atau tidak?

[Sumber: Teknofilo]

BACA  Kegilaan Shopping Madness Heaven Bermula Di 11Street