Realme jenama baru berniat mengkucar-kacir pasaran Malaysia

Sekarang ni memang dah musim jenama pengeluar telefon pintar, membuat satu lagi sub jenama di bawah mereka. Kita tahu tentang Huawei dan honor, dan yang baru muncul pula adalah Xiaomi dan Pocophone.

Kini kedengaran satu lagi sub jenama yang baru lahir di India ingin membuat kemunculan sulung di Malaysia. Jenama yang popular dengan tagline pakar swafoto, OPPO telah melahirkan Realme, sebuah jenama yang mensasarkan kepada belia dan remaja dengan peranti berharga mampu milik tetapi sangat berbaloi dibeli.

Produk pertama Realme, Realme 1 dilancarkan di India pada bulan Mei 2018. Pada hujung bulan lepas, Realme 2 pula dilancarkan di India. Ia kini dilaporkan akan mula dipasarkan di luar India dan Malaysia merupakan salah satu destinasi terawal.

Telefon pintar Realme dikatakan boleh menggugat pasaran sedia ada kerana ia dipasarkan dengan harga lebih rendah dari biasa. Di India, Realme 2 dijual bermula dari INR8,990 (~RM518) untuk versi 3GB RAM dan 32GB storan, dan INR10,990 (~RM634) bagi model 4GB RAM dan 64GB storan.

Kuasa dalaman Realme 2 digerakkan oleh CPU Snapdragon 450. Tenaganya pula diperoleh dari bateri besar berkapasiti 4,230mAh. Satu kelebihan pada Realme 2 adalah tiga slot kad berasingan, yang menyokong dua kad sim nano dan satu kad mikroSD digunakan serentak.

Kamera dwi-lensa terdapat di belakang, gabungan lensa 13MP+2MP F2.2. Ini membolehkan ia menangkap gambar dengan mod bokeh. Kamera hadapan pula lensa tunggal 8MP F2.2 dan dilengkapi teknologi pengecaman wajah AI.

Realme 2 memiliki skrin seluas 6.2-inci, dengan takuk di dahi dalam nisbah 19:9. Skrin ini meliputi 88.8% bahagian depan telefon dengan resolusi HD 1520×720 sahaja. Pengimbas capjari terletak di belakang.

BACA  iPad Pro 2018 Bagai Mimpi Jadi Kenyataan

Tarikan utama Realme 2 adalah rekaan badannya dengan kemasan potongan berlian, membuatkan ia berkilauan dari pelbagai sudut hasil pantulan cahaya. Terdapat tiga warna ditawarkan iaitu Hitam, Merah dan Biru.

Pada julat harga begini, Realme 2 dilihat bersaing dengan Xiaomi Redmi 6 berharga RM499 (3GB+32GB). Redmi 6 memiliki CPU Mediatek Helio P22, skrin 5.45-inci, bateri 3,000mAh, kamera belakang 12MP+5MP dan kamera hadapan 5MP. Di sini, Realme 2 dilihat memiliki banyak kelebihan berbanding Redmi 6.

Adakah anda boleh menaruh keyakinan kepada jenama baru di bawah OPPO ini, atau Xiaomi masih pilihan untuk telefon bajet rendah? Kita nantikan pengumuman harganya bila Realme 2 tiba di Malaysia nanti.