Laptop sejari Huawei dijadual tiba di Malaysia bulan ini

Selain menghasilkan telefon pintar dan tablet berasaskan Android, Huawei sebenarnya turut menghasilkan laptop yang menggunakan sistem operasi Windows. Awal tahun ini, mereka memperkenalkan laptop Huawei Matebook X Pro di pameran MWC 2018. Kini, ia diumumkan akan tiba di Malaysia pada bulan ini, 8 bulan selepas pelancaran di Barcelona.

Mengapa ia dipanggil laptop sejari? Ini kerana dengan menggunakan satu jari, anda boleh mengangkat panel paparan Matebook X Pro. Tanpa terangkat bahagian bawah laptop.

Laptop Huawei Matebook X Pro adalah sebuah laptop yang sangat nipis, ringan, skrin besar meliputi 91% badan tetapi memiliki kuasa dalaman yang tinggi. Beratnya hanya 1.33kg dengan ketebalan 14.6mm sahaja.

Skrinnya berukuran 13.9-inci dengan paparan LTPS FullView (ya, seperti di telefon pintar) dengan resolusi super tinggi, 3000×2000 (nisbah paparan 3:2). Skrin ini memiliki fungsi sentuhan bersama nisbah kontras 1500:1 dan tahap kecerahan setinggi 450 nits.

Perkakas dalamannya disediakan dalam beberapa pilihan, seperti cip pemproses Intel Core i5-8250U atau Intel Core i7-8550U yang lebih berkuasa, RAM LPDDR3 2133MHz sebesar 8GB atau 16GB, serta storan dalaman SSD dari jenis NVMe PCIe, seluas 256GB atau 512GB. Tambah memperkasanya adalah cip grafik NVIDIA GeForce MX150 dengan RAM GDDR5 2GB disertakan untuk pilihan cip Intel Core i7.

Papan kekunci berlampu dengan butang bersaiz penuh dipasang padanya, bersama trackpad yang sangat besar. Ia memiliki pengimbas capjari yang dipasang di dalam butang kuasa.

Satu perkara unik pada laptop ini adalah kameranya yang tersembunyi. Disebabkan skrinnya sangat nipis, Huawei menempatkan kamera web di dalam salah satu butang papan kekunci. Kamera ini memiliki resolusi 1MP, cukup makan untuk kegunaan panggilan video.

BACA  Kemaskini baru Huawei nova 3 jadikannya sehebat Huawei P20

Walaupun sangat nipis, Huawei berjaya memuatkan port USB-A bersaiz, USB-C dan satu lagi USB-C Thunderbolt 3. Laptop ini menerima kuasa melalui sambungan USB-C yang mana didatangkan bersama pengecas USB-C PD 65W.

Sementara harganya di Malaysia masih belum diketahui, di China ia telah dijual dengan harga bermula dari RMB7,988 (~RM4,824) untuk spesifikasi Intel Core-i5, RAM 8GB dan SSD 256GB. Manakala model berkuasa cip Intel Core-i7, RAM 16GB dan SSD 512GB pula berharga RMB12,988 (~RM7,843).

Dari segi harga dan spesifikasinya, pesaing Huawei Matebook X Pro adalah seperti Dell XPS13 dan Microsoft Surface Book 2, tetapi adakah Huawei Malaysia akan meletakkan harga yang sama? Adakah laptop Huawei Matebook X Pro ini lebih menarik? Kita nantikan tarikh pelancaran dan harga rasminya tidak lama lagi. Sementara itu, boleh mengenalinya dengan lebih mendalam dengan melawat laman produk Huawei Matebook X Pro.