Ini mungkin telefon pertama dengan 4 kamera belakang

Samsung akan mengadakan majlis pelancaran, ‘A Galaxy Event’ pada petang esok, Khamis 11 Oktober 2018. Perlu diingatkan, ia bukanlah pelancaran peranti biasa di Malaysia, sebaliknya ia adalah pelancaran antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai lokasi tumpuan sedunia.

Dalam jemputan tersebut, antara yang ditekankan ialah ‘4X Fun’ atau 4x keriangan, atau 4x kegembiraan, atau 4x keseronokan??? Ia masih menjadi teka teki tentang apakah maksud sebenar 4x ini, tetapi mungkin jawapannya telah ditemui.

Evan Blass yang sering melaporkan berita terbocor, baru berkongsi di twitter tentang sebuah telefon pintar dengan 4 kamera belakang. Benar, 4 kamera belakang. Lebih banyak dari 3 kamera, atau 2 kamera.

Beliau tidak memberi sebarang penerangan tentang gambar ini, tetapi ia pasti merujuk kepada majlis pelancaran Samsung esok. 4x Fun merujuk kepada 4 lensa kamera. Lensa tersebut ialah:

  1. Lensa lebar 120-darjah 8MP F2.4
  2. Lensa telefoto 2x zum optikal 10MP F2.4
  3. Lensa utama 24MP F1.7
  4. Lensa pengesan kedalaman Live Focus 5MP F2.2

Nampaknya setiap lensa memiliki tugasan tersendiri. Tetapi yang lebih penting adalah pemproses imej, seperti mana Huawei P20 Pro boleh mempergunakan ketiga-tiga lensa kamera untuk bergabung dan menghasilkan gambar yang lebih menarik dari biasa.

Galaxy A7 2018

Tetapi ini masih samar-samar. Samsung telah pun melancarkan telefon pintar tri-kamera pertama mereka bulan lepas, iaitu Galaxy A7 2018. Jika gambar ini benar, ia bukanlah Galaxy A7 tetapi sesuatu yang lebih tinggi. Mungkin Galaxy A8 atau Galaxy A9.

Kami akan berada di lokasi majlis ‘A Galaxy Event’ petang esok. Nantikan laporan dari kami. Anda juga boleh menonton secara langsung menerusi laman web Samsung Malaysia, pada jam 5 petang esok, 11 Oktober 2018.