Kini ada satu lagi pendatang baru dalam arena flagship selepas Note9 yang kami uji kameranya pada edisi yang lalu dan ia dikenali sebagai iPhone XS.
iPhone XS
Pada helaian spesifikasi, iPhone XS memiliki spesifikasi kamera yang hampir serupa dengan iPhone X. Tapi perbezaannya berlaku pada kehadiran cip pemproses baru yang membekalkan kuasa pengkomputeran yang lebih canggih untuk memproses data imej yang diterima daripada sensor kamera. Tambahan pula, saiz satu piksel pada iPhone XS lebih besar iaitu 1.4 mikron berbanding 1.22 mikron yang mencadangkan prestasi low light yang lebih baik.
iPhone X
Selain iPhone XS dan iPhone X, kami turut menyertakan dua lagi yang hebat dan panas.
Samsung Galaxy Note9, Note pertama yang hadir bateri 4,000mAh untuk lebih lama masa penggunaan. Ia masih mengekalkan konfigurasi dwikamera belakang dengan teknologi Dualpixel Autofocus untuk bidikan fokus sepantas kilat.
Galaxy Note9
Huawei P20 Pro pula adalah yang pertama hadir dengan trikamera belakang dan sangat cemerlang dalam keadaan malap. Ia mampu mengambil gambar gelap tanpa menggunakan tripod selamat 4 saat dengan bantuan kecerdasan buatan (AI).
P20 Pro
Berikut adalah perbandingan spesifikasi asas keempat-empat telefon yang menyertai ujian kamera kali ini
[table “126” could not be loaded /]Kali ini, kami jalankan sebanyak enam ujian iaitu:
- warna
- ketajaman
- zum
- low light
- HDR
- potret
- swafoto
Sebelum bermula, kami telah reset-kan kesemua telefon untuk berada dalam tetapan default. Hal ini penting kerana, pada P20 Pro, firmware yang terbaru padanya mematikan fungsi AI secara automatik dan pengguna perlu mengaktifkannya secara manual jika mahu menikmati fungsi tersebut tapi pada firmware yang lama, AI dihidupkan secara automatik.
1. Warna
Kecantikan adalah sesuatu yang subjektif. Ada yang menyukai warna yang terang, ada yang sukakan lebut. Secara asasnya, kamera akan cuba sedaya upaya menghasilkan gambar dengan warna yang sama dengan dunia sebenar tapi ia masih tertakluk kepada algoritma pemerosesan yang ditetapkan pihak pengeluar. Misalnya adalah gambar di bawah, mereka diambil daripada lokasi yang sama dan pada sela masa yang singkat.
Tekan untuk perbesar
Tapi hasil yang diperoleh adalah berbeza. iPhone XS menghasilkan gambar yang lebih suam manakala P20 Pro lebih sejuk. Galaxy Note9 pula memiliki profile suam, kearah iPhone XS manakala iPhone X berprofil sejuk.
Tapi, gambar daripada Note9 saya dapati lebih tepat dengan keadaan pada masa itu.
Pilihan kami: Galaxy Note9
2. Ketajaman
Ketajaman dipengaruhi banyak faktor. Tapi faktor yang paling kuat adalah lensa yang terkandung dalam komponen pengimejan. Lensa ini akan membiaskan cahaya masuk ke telefon untuk disalurkan kepada sensor kamera. Lebih cekap ia membiaskan cahaya, lebih tajamlah gambar yang akan terhasil.
Tekan untuk perbesar
Tidak mengambil kira warna, P20 Pro dilihat memiliki gambar yang lebih tajam berbanding tiga yang lain apabila gambar dizumkan pada tahap 100%. Namun, perbezaannnya tidaklah begitu ketara dan ia menunjukkan keempat-empat kamera memiliki keupayaan yang hampir setara untuk gambar biasa.
Pilihan kami: P20 Pro
3. Zum
Kesemua telefon memiliki keupayaan untuk mengezum yang tersendiri. Kedua-dua iPhone X dan Note9 boleh mengezum optikal sehingga 2× manakala P20 Pro, dengan konfigurasi trikamera memiliki keupayaan mengezum optikal 3× dan 5× secara hibrid (digital+optikal).
Tekan untuk perbesar
Keempat-empat telefon mampu mengezum sehingga 10× namun begitu ia hanyalah zum digital dan terpaksa mengorbankan kualiti gambar. Tapi P20 Pro masih mengungguli kategori ini seperti ujian edisi sebelum ini apabila nyata memberikan hasil yang baik berbanding tiga pesaing yang lain. Himpunan gambar di bawah ini adalah hasil mengezum 10x digital yang diperbesar sehingga 100%.
Tekan untuk perbesar
Pilihan kami: P20 Pro
4. Low Light
Lowlight adalah adalah kategori yang diminati P20 Pro kerana dalam edisi yang lepas ia menewaskan tiga pencabarnya yang lain tanpa masalah. Dalam keadaan gelap, telefon terpaksa meningkatkan paras ISO supaya boleh menggunakan kelajuan shutter yang sewajarnya agar gambar yang diambil tidak terkesan dek tangan yang bergegar.
Dalam ujian gelap, iPhone XS dan P20 Pro beroleh hasil yang amat menarik. Mereka mampu memberikan exposure yang cukup pada mini kuil yang terdapat pada bahagian kiri gambar. Tambahan pula, bahagian siling gua turut jelas kelihatan tanpa menjejaskan exposure pada kuil utama yang terletak pada bahagian tengah gambar.
Tekan untuk perbesar
Analisis pada maklumat EXIF untuk setiap gambar menunjukkan iPhone X mempunyai cara metering yang tidak sekata dengan tiga pesaing yang lain. Semasa iPhone XS, Note9, dan P20 Pro menggunakan ISO yang agak tinggi (ISO 400 hingga 500), iPhone X hanya menggunakan ISO 100. Akibatnya, kelajuan shutter terpaksa diturunkan kepada 1/6 saat sahaja dan ia diterjemahkan kepada gambar yang kurang tajam berbanding tiga gambar yang lain.
Pilihan kami: iPhone XS
Terus ke Muka 2
[nextpage title=”Muka 2: HDR, Potret, & Swafoto, & Kesimpulan”]
5. HDR
HDR adalah fungsi yang kini terdapat pada telefon-telefon moden. Menggunakan HDR, kamera akan mengambil beberapa keping gambar serentak dan melapiskannya antara satu sama lain untuk mencari purata exposure agar bahagian gelap dan terang gambar tidak kehilangan butiran.
Dalam gambar dibawah, pintu kuil adalah bahagian terang manakala kawasan dinding gua adalah bahagian gelap. HDR yang baik adalah yang mampu memaparkan kedua-dua bahagian tanpa masalah. Contoh yang baik adalah iPhone XS dan Note9.
Tekan untuk perbesar
Dalam kedua-dua gambar itu, anda boleh menyaksikan dengan jelas bahagian dalam kuil dan pada masa yang sama bahagian dinding gua masih boleh dilihat. Walau bagaimnapun, iPhone XS menang di sini kerana butiran yang lebih tinggi dipaparakan berbanding Note9.
iPhone X pula gagal merakam butiran dalam kuil manakala P20Pro gagal merakam butiran dinding.
Pilihan kami: iPhone XS
6. Potret
Dalam ujian kamera, iPhone sering diangkat sebagai pemenang kerana kebolehan mereka mempamerkan warna kulit yang tepat dan mereka berjaya melakukannya sekali lagi. Cuba anda bandingkan dengan tona warna pada Note9 yang membuatkan subjek nampak pucat.
Begitu juga dengan P20 Pro. Masalah telefon ini adalah ia menggunakan kamera bersudut pandang luas untuk mengambil gambar. Hasilnya adalah subjek kelihatan bulat terutama pada hidung dan jika ia seorang berdahi luas, lebih parah.
Tekan untuk perbesar
Pada simulasi kesan bokeh, ketiga-tiga mereka berjaya mencerap pinggir subjek untuk memisahkannya daripada latar.
Pilihan kami: iPhone XS
7. Swafoto
Mensimulasikan kesan bokeh pada kamera depan adalah sesuatu yang mencabar kecualilah telefon itu ada dua kamera depan seperti nova 2i. Keempat-empat pesaing ini menggunakan konfigurasi ekakamera depan dan pastinya bergantung pada algoritma pengkomputeran semata-mata untuk memisahkan subjek daripada latar.
Dalam ujian ini, kedua-dua iPhone XS dan iPhone X dilihat menghasilkan kesan bokeh yang lebih semula jadi. Sebagai perbandingan, P20 Pro menghasilkan kesan yang terlalu fake dan simulasi bokehnya pula kurang sempurna, sama seperti Note9.
Tekan untuk perbesar
Daripada tona warna kulit pula, kemenangan masih memihak kepada kedua-dua iPhone tetapi kelebihan pada iPhone XS kerana berjaya memberikan exposure yang sekata pada wajah terutama pada dahi dan hujung hidung subjek.
Pilihan kami: iPhone XS
Kesimpulan
Kesemua kamera pada telefon-telefon dalam ujian ini memiliki kelebihan masing-masing. Contohnya, iPhone XS lebih menyerlah pada potret dan selfie apabila mampu merakam warna kulit paling tepat dalam kalangan telefon yang bertanding. Kesan beautify itu ada tetapi tidak keterlaluan sehingga nampak fake. Secara keseluruhannya, kedua-dua iPhone XS dan X cenderung untuk memberikan warna lebih suam kepada gambar.
P20 Pro pula memiliki keupayaan menghasilkan gambar yang tajam, walaupun ketika mengezum digital 10x. Dalam keadaan malap pun ia masih mengekalkan ketajaman itu dengan kehadiran sensor monokrom 40MP yang cemerlang. Berbeza dan iPhone, P20 Pro pula mempunyai profil warna yang lebih sejuk.
Untuk Note9 pula, ia tidak ekstrim dalam mana-mana kategori tetapi sering kali berada di tengah-tengah antara Apple dan Huawei. Walau bagaimanapun, Note9 ada kelebihannya yang tersendiri iaitu Dual Pixel Autofokus yang masih mengungguli teknologi pembidik fokus dalam dunia telefon.
Jadi kesimpulan yang saya ingin garapkan di sini adalah kamera pada telefon-telefon ini cemerlang sesuai dalam situasi-situasi tertentu.
Contohnya jika anda sesorang penagih media sosial yang gemar mengutuskan selfie ataupun potret berbokeh, iPhone XS adalah teman setia anda. Jurugambar jalanan yang sering mengambil gambar panorama ataupun yang mudah terpegun dengan seni bina banggunan, P20 Pro adalah jawapannya.
Galaxy Note9 pula biasa-biasa dalam semua kategori tapi yang bagusnya tentang Note9 adalah ia ada paparan yang besar serta kehadiran S-Pen adlaah sesuatu yang menarik jika anda melakukan suntingan gambar terus daripada telefon.
Ini bukanlah ujian sesaintifik DxOMark, ia cumalah hadir daripada pendapat peribadi. Jika anda berasa pemilihan ini berat sebelah, sila turunkan pendapat anda di bawah.