RealMe 2 Pro pemecah harga peranti RAM 8GB di bawah RM1000

Subjenama OPPO, Realme hari ini membawa masuk tiga produk terbaru mereka ke Malaysia secara rasmi. Sesuai diletakkan dalam kategori midrange, ketiga-tiga model yang boleh anda beli adalah:

  • Realme 2 Pro
  • Realme 2
  • Realme C1

Realme 2 Pro

Realme 2 Pro menerajui dua telefon lain dek memiliki spesifikasi yang paling berkuasa dalam kalangan ketiga-tiganya. Daripada segi rekaan, bahagian mukanya ia lebih mirip pada kebanyakan produk OPPO yang dilancarkan dalam tahun 2018 seperti OPPO F9 dan R17.

Memiliki notch titisan air, ia menggunakan panel IPS LCD sebesar 6.3″ beresolusi HD Penuh. Diletakkan dalam keluarga midrange, adalah sesuatu yang bonus jika ia memiliki skrin AMOLED yang lebih mahal.

Bahagian pengimejan menyaksikan penggunaan dwikamera belakang dan ekakamera depan. Di belakangnya ada kamera 16MP dan 2MP manakala selfie boleh diambil menggunakan kamera 16MP.

Pada papan utama, ia diberikan CPU Snapdragon 660 dengan RAM sehingga 8GB dan storan sehingga 128GB luasnya.

Sekeping bateri 3,500mAh menguasakan bateri ini tapi malangnya tiada teknologi pengecasan pantas diberikan padanya sebaliknya hanya pengecasan biasa 10 watt.

Selain harga yang kompetitif, dua lagi kelebihan yang saya lihat pada telefon ini adalah penggunaan konfigurasi trislot untuk kad SIM dan mikro-SD dan juga mengekalkan port audio 3.5mm.

Telefon ini turut ada kekurangannya. Kekurangan yang paling ketara telefon ini adalah tidak menyokong Wi-Fi 5Ghz walaupun ia menggunakan CPU yang agak baru. Kemudian, pada rekaan terutamanya pada kelim tempat paparan dan badannya bertemu.

Badan telefon ini nampak tidak muat untuk paparannya kerana bahagian paparan sedikit terangkat berbanding dengan telefon lain yang lebih licin.

Realme 2

Ini adalah saudara lebih rendah berbanding versi Pro. Jadi terdapat beberapa kekurangan dan juga kelebihan. Perbezaan Realme 2 berbanding Realme 2 Pro, adalah bateri dan paparan yang lebih besar iaitu 4,230mAh serta skrin 6.2″ tapi pada resolusi lebih rendah, 720p.

BACA  7 November tarikh ketibaan rasmi Realme di Malaysia

Masih mengekalkan konfigruasi dwikamera dan ekakamera depan, resolusi kamera Realme 2 lebih rendah berbanding 2 Pro. Anda beroleh kamera belakang 13MP + 2MP dan kamera depan 8MP.

Pada papan utama, ia diperkasa CPU Snapdragon 450 yang agak lapuk. Ia dibantu RAM sehingga 4GB dan storan sehingga 64GB dan konfigurasi trislot SIM dan mikro-SD digunakan.

Struktur binaannya berasaskan plastik dan sepadan dengan tanda harga yang diberikan padanya.

Realme C1

Telefon ketiga yang diumumkan Realme adalah telefon kelas superbajet tapi masih bertenaga untuk memikul tugasan berat yang dilemparkan kepadanya. Fizikalitinya lebih mirip kepada Realme 2 dengan persamaan seperti:

  • CPU Snapdragon 450
  • Paparan 6.2″ beresolusi 720p
  • Kamera belakang 13MP and 2MP

Bezanya antara Realme C1 dengan Realme 2 adalah kamera selfienya yang lebih rendah iaitu 5MP berbanding 8MP pada saudara besarnya. Ia juga tiada pengimbas cap jari dan anda terpaksa bergantung pada sistem keselamatan biasa ataupun face unlock.

Harga

Harga rasmi kesemua telefon yang diumumkan Realme hari ini adalah seperti berikut:

  • Realme 2 Pro (RAM 4GB + storan 64GB) – RM849
  • Realme 2 Pro (RAM 6GB + storan 64GB) – RM949
  • Realme 2 Pro (RAM 8GB + storan 128GB) – RM1,099
  • Realme 2 (RAM 3GB + storan 32GB) – RM599
  • Realme 2 (RAM 4GB + storan 64GB) – RM699
  • Realme C1 (RAM 2GB + storan 16GB) – RM449

Realme 2 Pro akan mula dijual pada 11 November 2018, manakala Realme 2 pada 24 November 2018 dan Realme C1 pula pada 22 November 2018. Terdapat promosi terhad yang akan berlangsung di platform e-commerce tertentu. Untuk Realme 2 Pro, anda boleh berkunjung ke laman Shopee pada 11 November untuk mendapat potongan harga eksklusif seperti berikut:

  • Realme 2 Pro (RAM 4GB + storan 64GB) – RM849  RM799
  • Realme 2 Pro (RAM 6GB + storan 64GB) – RM949 RM899
  • Realme 2 Pro (RAM 8GB + storan 128GB) – RM1,099 RM999
BACA  Shopee dilantik sebagai penjual eksklusif Realme 2 Pro

Promosi Realme C1 akan berlangsung di Lazada bermula 22 November 2018 dengan potongan harga sebanyak RM50 menjadikan harga telefon itu RM399.