Huawei Y9 2019 seimbang antara bajet dan prestasi

Minggu lepas Huawei mengumumkan akan membawa masuk telefon bajet mereka terbaik, Huawei Y9 2019 ke Malaysia. Kini ia telah mula dijual di Malaysia dengan harga menarik yang kompetitif, iaitu RM899.

Diwar-warkan sebagai telefon bajet terbaik, Huawei Y9 2019 dilengkapi perkakas yang tak kurang hebat seperti pemproses Kirin 710 dengan kuasa GPU Turbo, RAM 4GB dan storan dalaman 64GB. Ia memiliki skrin besar seluas 6.5-inci bertakuk di dahi, dengan resolusi HD Penuh+ dalam nisbah 19.5:9.

Huawei Y9 2019 menggunakan dwi-kamera belakang 16MP+2MP manakala kamera hadapannya 13MP+2MP. Lensa kedua digunakan untuk menangkap perbezaan tahap kedalaman sekaligus menghasilkan efek bokeh yang menarik.

Satu lagi tarikan Huawei Y9 2019 adalah saiz bateri yang besar, 4,000mAh. Tetapi tiada sokongan pengecas pantas dan dicas melalui port mikro USB. Pengimbas cap jari terletak di belakang telefon.

Dengan spesifikasi sebegini, Huawei Y9 2019 dilihat memiliki banyak persamaan dengan nova 3i yang kini berharga RM1,099. Walaupun storannya lebih kecil, Y9 2019 memiliki kelebihan pada saiz skrin dan bateri yang lebih besar. Malah, ia RM300 lebih murah.

Huawei Malaysia menyediakan dua warna pilihan buat Y9 2019 iaitu Midnight Black, Sapphire Blue. Ia telah mula dijual di stor Huawei, stor online Huawei Malaysia dan pengedar sah Huawei di seluruh Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, boleh lawati laman web Huawei Y9 2019.

BACA  Huawei Y Max sah tiba di Malaysia pada 12 12