Ini senarai aplikasi Google yang boleh menjimatkan bateri

Salah satu cara untuk menjimatkan bateri di telefon pintar adalah dengan mengaktifkan mod gelap/malam, atau dark/night mode. Ada yang mengatakan ia hanya memberi kesan kepada paparan OLED sahaja, tidak pada LCD.

Google sendiri bersetuju bahawa mod gelap boleh menjimatkan bateri dan berkongsi dapatan mereka melalui ujian di telefon pintar Google Pixel (2016) yang menggunakan paparan AMOLED. Dari graf kuasa (power) di bawah, kita dapat melihat berapa banyak tenaga digunakan.

Dengan tahap kecerahan tertinggi, warna hitam menggunakan tenaga paling sedikit. Ia diikuti oleh warna merah, hijau dan melonjak naik di warna biru. Paling banyak makan bateri, ialah warna putih dengan penggunaan tenaga 5x lebih banyak dari warna hitam.

Oleh itu, Google telah mula menambah fungsi Dark Mode di dalam aplikasi yang dihasilkan mereka. Berikut ialah beberapa aplikasi Google yang memiliki fungsi ini dan boleh digunakan, untuk membantu anda memanjangkan lagi hayat bateri di telefon pintar Android.

1. Google Contacts

Kemaskini terbaru Google Contacts 3.2 dilengkapi fungsi Dark Mode. Hanya tekan menu iaitu tiga garis di bahagian atas kiri dan pilih Turn dark theme on. Latar akan bertukar menjadi hitam dan teks pula berwarna putih.

2. YouTube

Salah satu aplikasi terawal yang menggunakan Dark Mode ialah YouTube. Ia dilancarkan terlebih dahulu untuk versi laman web dan iOS, dan kini telah sedia digunakan di aplikasi Android. Disebabkan ia memaparkan thumbnail video, maka sedikit sahaja ruang latar yang menjadi warna hitam. Masih ada penjimatan di situ.

Untuk mengaktifkannya, pergi ke Profile Icon > Dark Theme dan hidupkan.

3. Android Message

Oleh kerana majoriti aplikasi ini berasaskan teks, maka latar hitam lebih banyak memenuhi ruangan apabila menggunakan Dark Mode. Untuk mengaktifkannya juga mudah, pilih tiga titik di ruang atas kiri, kemudian tekan pada Enable Dark Mode.

BACA  [Reviu] OPPO R17 Pro: Usaha Rampas Takhta Pakar Fotografi

4. Gboard

Secara rasmi, papan kekunci Gboard tidak memiliki Dark Mode. Tetapi ia ada theme, jadi boleh pilih theme berwarna hitam atau gelap bagi mendapatkan penjimatan tenaga dari warna hitam theme sendiri.

Untuk memilih Theme, di bahagian papan kekunci Gboard, pergi ke Setting > Theme. Kemudian pilih warna Theme paling hitam dan gelap. Ada banyak juga theme lain yang boleh disesuaikan mengikut kegemaran anda.

5. Google News

Membaca berita biasanya memerlukan lebih fokus dan perhatian. Dengan latar yang gelap, ia mengurangkan tekanan mata jika lama membacanya. Kerana itu, Google News juga memiliki Dark Mode.

Gabungan gambar dan teks memberikannya ruang gelap yang agak besar. Dark Mode boleh dihidupkan dengan pergi ke Profile Icon > Settings > Dark Theme > Always. selain Always, jika anda masih suka latar yang cerah, ia juga memiliki tetapan automatik di waktu malam dan Battery Saver, atau ketika Battery Saver dihidupkan.

6. Google Maps

Mungkin agak pelik jika peta dilihat dengan latar gelap, ia seolah-olah memberikan rasa waktu malam. Kerana itu, Google Maps sebenarnya tidak ada Dark Mode tetapi ia ada di dalam ruang Navigation.

Secara lalai, Google Maps Navigation berubah ke Dark Mode secara automatik di waktu malam. Tetapi anda boleh memaksa Dark Mode sentiasa hidup di Navigation. Caranya dengan pergi ke menu iaitu tiga garis di bahagian kiri atas, Settings > Navigation Settings > Map Display > Colour Scheme, dan pilih Night.

7. Google Authenticator

Untuk keselamatan yang lebih tinggi, log masuk 2-tahap amat penting. Salah satu caranya ialah dengan menggunakan Google Authenticator. Aplikasi ini juga, adalah salah satu yang diberikan Dark Mode oleh Google.

BACA  Laman ini senaraikan aplikasi Google yang telah berkubur

Menghidupkannya sangat mudah, sama seperti di aplikasi lain di atas. Hanya pergi ke menu iaitu tiga titik di atas kanan dan aktifkannya.

8. Snapseed

Jika anda tidak tahu, Snapseed adalah aplikasi mengedit gambar dari Google. Sedikit sebanyak, latar gelap boleh memberi lebih fokus semasa mengedit gambar.

Mengaktifkan Dark Mode di Snapseed sangat senang. Pergi ke menu iaitu tiga titik di atas kanan dan aktifkannya.


Ini ialah 8 aplikasi Google di Android yang kami temui memiliki Dark Mode. Adakah ia benar menjimatkan tenaga dan memanjangkan hayat bateri? Anda boleh cubanya dan ceritakan kepada kami di ruangan komen.

Selamat mencuba!

[Sumber: TheVerge, 9t05Google]