fbpx

Google mungkin akan perkenal Pixel 3 versi bajet

Awal bulan Oktober lepas, Google telah memperkenalkan telefon pintar terbaru keluaran mereka, Pixel 3 dan Pixel 3 XL. Ia masih mengekalkan satu lensa kamera belakang, yang masih mampu menghasilkan gambar potret dan efek bokeh melalui pemprosesan digital.

Tetapi baru-baru ini, telah mula kedengaran khabar tentang versi ketiga Pixel 3, dengan tanda harga lebih rendah. Menggunakan nama kod ‘Sargo‘, ia dikatakan akan dipanggil sebagai Pixel 3 Lite.

Satu gambaran jelas membandingkan Pixel 3 Lite bersama Pixel 3 telah dikongsi oleh Ben Geskin. Dari gambar di atas, Pixel 3 Lite ialah telefon pintar di sebelah kiri, manakala di sebelah kanan ialah Pixel 3.

Pixel 3 Lite dimaklumkan memiliki skrin berukuran 5.56-inci dengan nisbah 18.5:9. Ia akan dikuasakan oleh cip pemproses Snapdragon 670 bersama RAM 4GB. Storan pula akan ditawarkan di antara 32GB dan 64GB.

Kameranya pula dikatakan memiliki spesifikasi yang sama iaitu lensa tunggal 12MP di belakang dan 8MP di hadapan. Untuk kuasa, ia akan datang dengan bateri berkapasiti 2,915mAh di dalamnya. Dari gambar yang dikongsi, Pixel 3 Lite ini masih mengekalkan jek fon kepala 3.5mm.

Masalahnya, Pixel 3 Lite ini mungkin masih tidak dijual secara rasmi di Malaysia. Mungkin ia akan dijual di Singapura, tetapi berapakah harganya kelak? Untuk perbandingan, di bawah ini ialah harga Pixel 3 di Singapura.

  • Google Pixel 3 64GB – SGD1,249 (~RM3,751)
  • Google Pixel 3 128GB – SGD1,399 (~RM4,201)
  • Google Pixel 3 XL 64GB – SGD1,399 (~RM4,201)
  • Google Pixel 3 XL 128GB – SGD1,549 (~RM4,652)

Berapa rendah lagi harga boleh diletakkan untuk Pixel 3 Lite nanti? Adakah boleh dibeli di bawah RM3,000?

BACA  Laser Boleh Diguna Untuk Gantikan Arahan Suara Telefon Anda

[Sumber: Pocketnow]