fbpx

Selepas Porsche dan Lamborghini, kini giliran McLaren jadi telefon

Huawei sudah bersama Porsche, OPPO pula dengan Lamborghini. Hari ini, satu lagi kerjasama di antara pengeluar telefon pintar dan pembuat kereta diumumkan. OnePlus dan McLaren.

Satu pengumuman ringkas telah dibuat oleh OnePlus dan McLaren tentang kerjasama mereka ini. Penuh laman media sosial kedua-duanya dengan pengumuman kerjasama ini. Secara rasminya, satu acara khas berkenaan kerjasama ini akan diadakan pada 11 Disember 2018.

OnePlus turut membangunkan satu laman mikro khas berkenaan kerjasama ini. Laman ini menyenaraikan beberapa persamaan yang terdapat di antara OnePlus dan McLaren. Tetapi bukan itu yang menarik minat kami, sebaliknya apa yang tertulis di alam URLnya.

Laman mikro OnePlus dan McLaren dialamatkan ke www.oneplus.com/mclaren-6t. Boleh dijangka, satu telefon pintar khas bertemakan McLaren akan dihasilkan oleh OnePlus, berasaskan rekaan OnePlus 6T yang baru.

OnePlus 6T baru sahaja dilancarkan bulan lepas, dan telah pun dijual di Malaysia. Model terbaiknya hadir dengan cip pemproses Snapdragon 845, RAM 8GB dan storan dalaman 256GB. Baterinya sebesar 3,700mAh dan menyokong pengecasan pantas 5V4A (20W) serta pengimbas capjari di atas skrin.

Jadi apakah lagi keistimewaan yang boleh ada di OnePlus 6T x McLaren nanti? Sudah pasti ia akan ditampal logo McLaren, dan datang dalam warna tema McLaren iaitu oren bersama beberapa barangan digital McLaren seperti wallpaper, theme dan ikon McLaren.

Tetapi masih ada ruang untuk OnePlus 6T x McLaren mencapai tahap lebih premium. OnePlus 6T tiada pengecas wayarles, tidak pengiktirafan kalis air dan tiada speaker stereo. Ini beberapa perkara yang boleh melonjakkan tahap premiumnya.

Bagaimanapun, ini semua hanyalah andaian kami. Kita nantikan 11 Disember untuk maklumat lanjut tentang kerjasama OnePlus dan McLaren ini.

BACA  Suruhanjaya Tenaga tidak berpuas hati dengan alasan TNB, akan siasat aduan orang ramai

[Sumber: TheVerge]