fbpx

Digi WiFi sediakan internet tanpa had eksklusif untuk pengguna Digi

Pengguna Digi hari ni menerima SMS berkenaan pengenalan satu perkhidmatan baru, iaitu Digi WiFi. SMS itu turut berkongsi pautan ke laman web Digi WiFi yang menerangkan lebih lanjut tentang perkhidmatan tersebut.

Pautan tersebut seterusnya memaparkan logo Digi WiFi BETA, bersama peta Google Maps. Di dalam peta tersebut, terdapat petanda lokasi berwarna hijau di beberapa tempat sekitar Lembah Klang.

Jadi, apakah Digi WiFi ini?

Digi WiFi adalah perkhidmatan internet berasaskan WiFi di beberapa lokasi. Ia memberikan internet yang pantas tanpa had kuota, eksklusif buat pelanggan Digi untuk digunakan di laptop, tablet dan telefon pintar.

Bagaimanapun, Digi WiFi bukanlah percuma. Pengguna Digi perlu melanggan pelan Digi WiFi yang disediakan mengikut masa penggunaan. Terdapat 4 pelan yang ada buat masa ini iaitu 70sen untuk 30 minit, RM1 untuk 1 jam, RM1.20 untuk 2 jam dan RM2 untuk 4 jam. Sebagai promosi, Digi turut memberikan ganjaran bersama langganan pas internet Digi WiFi.

Untuk menggunakan Digi WiFi, mula-mula sekali perlu mencari lokasinya. Menurut Digi, mereka telah memasang Digi WiFi di 277 lokasi.

Antara lokasi yang kami lihat di peta ini adalah sekitar Subang Jaya, Petaling Jaya, Bukit Bintang, Ampang, Seri Kembangan, serta Putrajaya. Satu-satunya lokasi di luar Lembah Klang ialah di Seremban.

Selepas berada di lokasi Digi WiFi, sambungkan peranti atau laptop ke #DigiWifi. Buka pelayar internet dan ia akan membawa ke muka pengaktifan. Ikuti langkah di skrin untuk membeli pas internet menggunakan nombor Digi anda.

Sila pastikan anda mempunyai baki atau kredit yang mencukupi untuk membeli pas internet Digi WiFi. Kod pengaktifan akan dihantar melalui SMS.

BACA  Wiko View3, telefon dengan 3 kamera termurah di Malaysia

Pas internet yang dibeli sah digunakan dalam masa 24 jam selepas pengaktifan. Jika anda membeli pas 2 jam, kemudian menggunakan internet Digi WiFi selama 1 jam dan memutuskannya, anda masih boleh menyambung semula dan menghabiskan baki 1 jam pada bila-bila masa sahaja dalam tempoh 24 jam.

Digi memaklumkan lagi, mereka berusaha menyediakan kelajuan minimum 4Mbps untuk perkhidmatan Digi WiFi. Namun kelajuannya boleh dipengaruhi beberapa faktor seperti jumlah sambungan dan jarak pengguna ke WiFi.

Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman web Digi WiFi.