OnePlus 6T Oren pilihan McLaren mungkin dipasang RAM 10GB

Minggu lepas, OnePlus telah mengumumkan kerjasama dengan McLaren, serta satu majlis pelancaran akan diadakan pada 11 Disember 2018. Jemputan ke majlis pelancaran tersebut telah diedarkan dan di dalamnya, terkandung beberapa maklumat yang boleh memberi kita sedikit petunjuk.

Kad jemputan tersebut datang dalam kotak berwarna hitam, tetapi kadnya berwarna oren terang, warna yang sinonim dengan McLaren. Turut sama disertakan di dalamnya ialah tag dan lanyard McLaren, juga berwarna oren.

Seperti yang kita temui sebelum ini di alamat pautan OnePlus McLaren, kad jemputan ini dengan jelas menyatakan nama OnePlus 6T McLaren Edition. Pendek kata, memang sah model OnePlus 6T digunakan untuk edisi istimewa McLaren.

Ia bukan perkara baru buat OnePlus kerana mereka sering menghasilakan edisi khas dalam model sebelum ini, seperti OnePlus 5T Star Wars dan OnePlus 6 Avengers.

Tiada maklumat lain dikesan dalam kad jemputan ini. Tetapi dengan tagline ‘Salute To Speed’ pada majlis pelancaran ini, kita mungkin boleh melihat perkakas lebih berkuasa untuk OnePlus 6T edisi khas ini.

OnePlus 6T yang telah berada di pasaran, dikuasakan cip pemproses Snapdragon 845, dengan RAM sehingga 8GB dan storan sehingga 256GB. Ada khabar mengatakan edisi McLaren nanti akan dipasang dengan RAM 10GB. Warna oren pula kuat dikatakan menjadi pilihan edisi McLaren, seperti yang dilihat pada kad jemputan.

Apakah lagi yang boleh ditambah oleh OnePlus ke dalam edisi McLaren? Atau ia hanyalah perbezaan kosmetik semata-mata? Kita perlu tunggu pelancarannya pada 11 Disember nanti.

[Sumber: TechRadar]

BACA  Xiaomi mahu perkenal kamera 48MP tahun depan