Galaxy S10 akan tampil meriah dengan warna warni ini

Hari-hari Galaxy S10 diumumkan sebagai raja sehari kian hampir. Semakin dekat maka semakin banyak jua maklumat bocor disebarkan. Salah satu maklumat menarik ini telah dikongsi oleh pembocor berita bersiri, Roland Quandt.

Dalam gambar terbaru yang beliau kongsikan, ia memperlihatkan rupa Galaxy S10 dan S10 Plus sebagai imej rasmi yang akan digunakan Samsung. Bermakna, ia rupa sebenar peranti tersebut.

Seperti yang telah banyak kali dikongsikan sebelum ini, Galaxy S10 akan memiliki skrin seluas 6.1-inci dengan satu lubang di kanan skrin, memuatkan kamera hadapan. Manakala Galaxy S10 Plus memiliki skrin sebesar 6.4-inci, dengan lubang lebih besar di atas kanan skrin, memuatkan dua lensa kamera hadapan. Macam biasa, ia menggunakan paparan Super AMOLED dengan resolusi QuadHD+.

Di bahagian belakang pula, kedua-dua model Galaxy S10 ini akan dilengkapi tiga lensa kamera. Kali ini dalam bentuk mendatar, bukan menegak seperti di Galaxy S9+. Dipercayai, tiga lensa ini ialah lensa utama, lensa telefoto dan lensa bersudut lebar, gabungan lensa yang digunakan oleh siri Huawei Mate 20.

Dari gambar ini juga dapat dilihat, di bawah terdapat potongan yang nampak serasi dengan rupa port USB-C di tengah dan jek audio 3.5mm di tepinya. Di sisi pula, masih terdapat butang khas Bixby di bawah butang kawalan bunyi, dan butang kuasa di sebelah lainnya.

Pengimbas capjari fizikal tidak lagi kelihatan pada Galaxy S10 dan S10 Plus. Ia kerana peranti ini akan menggunakan pengimbas capjari dalam skrin, buat pertama kalinya pada telefon pintar Samsung.

Samsung sering menampilkan warna yang berbeza setiap kali pelancaran model baru Galaxy S. Kali ini, Roland berkongsi tiga warna iaitu hitam, hijau dan putih yang memiliki kemasan ala mutiyara. Roland juga baru berkongsi tentang satu warna baru, Hitam Seramik. Selain itu, satu lagi warna Biru, akan diperkenalkan kemudian.

BACA  Shopee melanjutkan tawaran Galaxy M20 dengan lebih hadiah

Tamat dari segi rupa, kita kembali pada spesifikasi. Galaxy S10 dan S10 Plus akan dikuasakan cip terbaru Exynos 9820, dan di sesetengah pasaran terhad, menggunakan cip Snapdragon 855. Ia akan dibekalkan dengan RAM dari serendah 6GB dan storan dari 128GB.

Galaxy S10+ dikhabarkan, akan datang dengan pilihan storan sehingga 1TB, berdasarkan cip storan eUFS 2.1 yang baru diperkenalkan Samsung.

Untuk tenaga, Galaxy S10 akan dipasang dengan bateri 3,400mAh manakala Galaxy S10 Plus dengan bateri 4,100mAh. Tiada teknologi pengecasan pantas yang baru dari Samsung, mungkin masih kekal dengan pengecas pantas Adaptive.

Samsung akan melancarkan siri baru Galaxy S10 pada 20 Februari 2019, di San Francisco, Amerika Syarikat. Di Malaysia, waktu pelancarannya bersamaan dengan jam 3 pagi, 21 Februari 2019. Orang ramai boleh menonton siaran langsung pelancaran ini menerusi laman web Samsung Malaysia.

[Sumber: WinFuture]