Spigen dedahkan rahsia Huawei P30 dan P30 Pro

Spigen, salah satu pengeluar casing terkenal kini telah mula menjual casing untuk telefon pintar yang masih belum diumumkan, Huawei P30 dan P30 Pro. Walaupun masih belum diceritakan langsung oleh Huawei, kita boleh menerima rekaan yang ditunjukkan oleh Spigen ini adalah benar. Ini kerana pembuat casing selalunya menerima saiz ukuran telefon pintar lebih awal, agar mereka boleh menyiapkan casing dan dijual serentak dengan pelancaran telefon pintar tersebut.

Terdapat dua model P30 yang ditunjukkan oleh Spigen, model asas P30 dan model lebih hebat perkasa P30 Pro. Dari gambar di Spigen, ia menepati banyak spekulasi yang tersebar sebelum ini seperti empat kamera di P30 Pro dan tiga kamera di P30.

Huawei P30

Huawei P30 mengekalkan rekaan hampir sama dengan P20 Pro, dengan susunan tiga kamera belakang menegak dan LED Flash di bawahnya. Skrinnya memiliki takuk kecil titisan air dan ia tiada pengimbas capjari fizikal. Bermakna, ia akan menggunakan pengimbas cap jari di dalam skrin seperti Huawei Mate 20 Pro.

Di bahagian bawah, ia mempunyai tiga lubang dipercayai untuk kegunaan port USB-C, jeriji pembesar suara dan juga jek audio 3.5mm. Ya, ia masih mengekalkan jek audio 3.5mm untuk kegunaan fon kepala berwayar.

Huawei P30 Pro

Tetapi terdapat sedikit perbezaan dengan versi Pro. Di Huawei P30 Pro, ia memiliki 4 kamera di belakang dalam susunan menegak. Tetapi LED Flash terletak di sampingnya, bukan di bawah. Malah, terdapat sensor tambahan di atas LED Flash, menjadikan ruangan lubang agak besar di casing bagi memuatkan 4 kamera, LED Flash dan sensor tambahan di belakang.

Berbeza juga di bahagian bawah. Huawei P30 Pro tidak memiliki jek audio 3.5mm, hanya port USB-C dan jeriji pembesar suara sahaja. Ini selaras dengan apa yang mereka tetapkan di P20 Pro dan Mate 20 Pro sebelum ini.

BACA  Facebook Dilapor Biadab, Tak Amanah Dengan VPN Mereka

Jika masih sama, bermakna versi Pro akan dilengkapi pengesahan kalis air dan debu IP68 serta pengecasan wayarles, manakala versi bukan Pro pula tidak kalis air dan tiada pengecasan wayarles.

Seperkara lagi yang boleh diambil perhatian ialah tentang skrin. Huawei tidak mengikut jejak langkah yang mungkin dibuat Samsung di Galaxy S10, menggunakan skrin berlubang. Sebaliknya ia menggunakan takuk kecil titisan air, walaupun sebenarnya Huawei sudah pun melancarkan telefon dengan skrin berlubang iaitu Nova 4.

Ini sahaja perkara yang boleh kita katakan berdasarkan gambar yang dikongsi oleh casing Spigen. Huawei P30 dan P30 Pro dijangka akan dilancarkan sekitar bulan hadapan, selepas pameran MWC 2019 di Barcelona. Tarikh pelancaran masih belum diberitahu.

Cuma ada satu petunjuk yang boleh kita huraikan, pada gambar wallpaper telefon pintar ini menunjukkan tarikh 28 Mac. Adakah ia suratan atau kebetulan? Kita kena tunggu pengumuman lanjut dari Huawei tidak lama lagi.

[Sumber: SoyaCincau, Spigen]