fbpx

Gabungan 4 telefon baru Nokia ini ada 5 kamera belakang

Bersama ketibaan Nokia 9 Pureview, HMD turut memperkenalkan empat lagi telefon lain di bawah nama Nokia. Jika Nokia 9 ada 5 kamera belakang, empat telefon Nokia ini bila digabungkan kesemuanya baru ada 5 kamera belakang.

Terdapat satu telefon kurang pintar dan tiga telefon pintar mampu milik dilancarkan iaitu Nokia 210, Nokia 1 Plus, Nokia 3.2 dan Nokia 4.2. Nokia 210 menggunakan sistem operasi S30 manakala tiga lagi telefon lain ialah telefon Android.

Nokia 210

Nokia 210 ialah telefon asas atau feature phone tetapi dilengkapi internet 2.5G. HMD masih menghasilkan telefon sebegini kerana mereka ialah pengeluar telefon asas no 1 di dunia dan ia masih digunakan secara meluas di negara mundur dan membangun.

Nokia 210 memiliki skrin 2.4-inci 320×240, papa kekunci nombor dan kamera belakang VGA beserta LED Flash. Dengan OS S30, ia memiliki aplikasi yang bersambung ke internet seperti pelayar Opera Mini, Facebook dan Classic Snake. Ia juga ada stor aplikasi sendiri tetapi storan dalamannya hanya 16MB.

Baterinya sebesar 1,020mAh dan dicas melalui port mikroUSB. Ini boleh memberi tenaga sehingga 20 hari dengan sekali cas penuh. Ia boleh memuatkan dua kad sim nano yang boleh aktif serentak.

Nokia 210 datang dengan tiga pilihan warna, iaitu Hitam, Kelabu dan Merah. Ia akan dijual pada harga USD35 (~RM142). Maklumat lanjut boleh didapati di laman produk Nokia 210.

Nokia 1 Plus

Nokia 1 Plus ialah telefon Android kelas paling bawah untuk Nokia, tetapi datang dengan skrin yang besar. Ia memiliki skrin 5.45-inci dengan resolusi qHD 960×540 sahaja. Bagaimanapun, ia melebar dalam nisbah 18:9.

Telefon ini menjalankan sistem operasi Android Go berasaskan Android 9.0 Pie, yang dioptimasikan untuk telefon pintar dengan prestasi rendah. Ia mengambil kurang ruang storan, di samping dijamin dengan kemaskini keselamatan setiap bulan.

BACA  Nokia 800 Tough Ada DNA Legenda 3310 Dalamnya

Cipset Mediatek MT6739 digunakan sebagai penggera utama bersama RAM 1GB dan storan hanya 8GB. Ia menerima kad mikroSD untuk storan tambahan. Bateri pula 2,500mAh dan dicas melalui port mikroUSB.

Kamera belakangnya 8MP dengan lensa autofokus dan LED Flash, manakala kamera hadapan 5MP. Terdapat tiga warna disediakan iaitu Hitam, Merah dan Biru. Harga jualannya ditetapkan pada USD89 (~RM361). Maklumat lanjut boleh didapati di laman produk Nokia 1 Plus.

Nokia 3.2

Nokia 3.2 disasarkan untuk pengguna dengan bajet rendah yang mahukan skrin dan bateri besar. Ia memiliki skrin berukuran 6.26-inci dengan resolusi HD+ serta takuk kecil titisan air. Tetapi badan belakangnya dilapisi kaca untuk rupa yang premium.

Telefon ini dikuasakan cip Snapdragon 429, RAM 2/3GB dan storan sehingga 32GB. Kad mikroSD diterima dengan kapasiti sehingga 400GB. Baterinya amat besar, berkapasiti 4,000mAh dan dicas melalui port mikroUSB.

Nokia 3.2 memiliki butang khas untuk memanggil Google Assistant, sesuatu yang agak baru untuk telefon kelas permulaan. Ia dipasang dengan pengecaman wajah, tetapi pengimbas capjari hanya ada untuk versi 32GB.

Sebagai peserta Android One, Nokia 3.2 dijamin kemaskini keselamatan selama 3 tahun, serta boleh menyimpan gambar dan video resolusi tinggi tanpa had di Google Photos. Kerana itu, ia dilengkapi sistem operasi terkini Android 9.0 Pie.

Bateri Nokia 4.2 agak besar, dengan kapasiti 4,000mAh. Ia dicas melalui port mikroUSB.

Nokia 3.2 datang dalam dua warna iaitu Hitam dan Kelabu. Ia akan dijual pada harga USD139 (~RM565) dengan RAM 2GB dan storan 16GB, dan berharga USD169 (~RM687) untuk RAM 3GB dan storan 32GB. Maklumat lanjut boleh didapati di laman produk Nokia 3.2.

BACA  ROG Phone II Diluar Bajet? Nubia Red Magic 3S Lebih Mesra Poket

Nokia 4.2

Untuk yang mahu telefon kecil yang sedap dipegang, boleh mendapatkan Nokia 4.2. Skrinnya hanya 5.71-inci dan resolusi HD+ 1520×720. Bateri juga lebih kecil, hanya 3,000mAh dan dicas melalui port mikroUSB.

Telefon ini dilihat lebih bergaya apabila memiliki dwi-lensa kamera belakang. Lensa pertama 13MP F2.2 autofokus manakala lensa kedua 2MP untuk mengesan tahap kedalaman. Kamera hadapannya 8MP.

Kuasa pemproses Snapdragon 439 menjadi minda penggerak Nokia 4.2 dan disertakan RAM 2/3GB dan storan sehingga 32GB. Pengimbas capjari fizikal menjadi standard di belakang. Ia juga menyokong pengecaman wajah untuk membuka kunci skrin.

Nokia 4.2 juga sebahagian dari Android One, maka ia dilengkapi sistem operasi Android 9.0 Pie terkini dan dijamin kemaskini keselamatan selama tiga tahun. Ia juga boleh menyimpan gambar dan video resolusi tinggi tanpa had di Google Photos.

Telefon ini datang dalam dua warna iaitu Hitam dan Merah Jambu. Ia akan dijual pada harga USD169 (~RM687) dengan RAM 2GB dan storan 16GB, dan berharga USD199 (~RM809) untuk RAM 3GB dan storan 32GB.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman produk Nokia 4.2.