Samsung ada satu lagi Galaxy S10 yang mungkin tak sampai Malaysia

Pelancaran Samsung Galaxy S10 yang diadakan minggu lepas, menekankan tiga model sahaja iaitu Galaxy S10, Galaxy S10 Plus dan Galaxy S10e. Tetapi ia sebenarnya memiliki keluarga keempat yang tidak berapa ditonjolkan, iaitu Galaxy S10 5G.

Seminggu kemudian, Samsung membuka jerayawara di pameran Mobile World Congress 2019 di Barcelona. Di sana, Samsung menayangkan Galaxy S10 5G yang tidak kelihatan semasa dilancarkan di San Francisco minggu lepas.

Memiliki nama yang sama, Galaxy S10 5G berkongsi banyak ciri-ciri yang serupa dengan keluarga S10 yang lain. Tetapi, ia adalah model terbaik dalam keluarganya, dari segi prestasi, kamera, bateri dan banyak lagi. Paling penting, ia menyokong rangkaian 5G.

Telefon ini dipasang skrin paling besar, berukuran 6.7-inci dari jenis Dynamic AMOLED dengan resolusi QuadHD+. Ia memiliki lubang di skrin yang dipanggil Infinity-O, memuatkan dua kamera hadapan seperti Galaxy S10+.

Kamera hadapan ini ialah lensa 10MP autofokus F1.9, tetapi lensa keduanya berbeza iaitu lensa pengesanan kedalaman 3D hQVGA.

Di kamera belakang, Galaxy S10 5G memiliki sejumlah 4 lensa iaitu 1 lensa lebih banyak dari Galaxy S10 dan S10+. Tiga lensanya ialah sama iaitu lensa utama 12MP Dwi-Piksel AF dengan dwi-apertur F1.5/F2.4, lensa telefoto 12MP F2.4, lensa sudut ultra lebar 16MP F2.2 dan keempat ialah lensa pengesanan kedalaman 3D hQVGA.

Badan yang besar membolehkan bateri 4,500mAh di pasang di dalamnya, terbesar dalam keluarga Galaxy S10. Malah, ia juga satu-satunya diberikan pengecas pantas baru 25W, di samping menyokong pengecasan wayarles dan Wireless PowerShare.

Galaxy S10 5G memiliki kuasa pemproses Exynos 9820 atau Snapdragon 855, RAM sebanyak 8GB dan storan dalaman 256GB. Hanya satu sim boleh dimuatkan dan ia tiada slot kad mikroSD. Telefon ini kalis air dan debu IP68 dan memiliki sistem bunyi stereo yang ditala AKG dan diperkasa teknologi Dolby Atmos.

BACA  Telefon baru Nokia ini diberi gelaran Captain America

Samsung belum mengumumkan lagi harga dan tarikh jualan Galaxy S10 5G. Tetapi ia pastinya lebih mahal dari Galaxy S10+ yang dijual di Malaysia, berharga RM3,699 untuk storan 128GB. Boleh jadi mencecah RM5,000.

Jika mula dijual tahun ini pun, ia mungkin tidak tiba di Malaysia memandangkan telco kita masih belum ada pelan melancarkan rangkaian 5G tahun ini. Tetapi ia masih agak menarik untuk dimiliki jika mahukan skrin lebih besar, bateri lebih banyak, kamera lebih lensa dan sedia digunakan bila 5G tiba.

Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Samsung Galaxy S10 5G.