fbpx

Ulasan Awal Mi 9, Telefon Yang Menguji Kesetiaan Peminatnya

Xiaomi Mi 9 adalah flagship 2019 yang diumumkan sebagai kemas kini kepada Mi 8. Seperti biasa, DNA Xiaomi adalah untuk bikin produk berprestasi tinggi pada harga rendah pada pengguna dan saya belum pernah jumpa orang yang mengutuk habis-habisan produk Xiaomi. Sudah tentulah untuk Mi 9, mereka ingin memastikan segala formula-formula kejayaan terdahulu direplikasikan dengan jayanya.

Namun begitu, melihat harga pelancarannya yang meningkat daripada generasi ke generasi, saya khuatir yang siri Mi bakal goyah dalam hati peminatnya dek kehadiran peranti pesaing dengan harga dan prestasi yang amat kompetetif.

Ini adalah coretan saya mencerap Xiaomi Mi 9 di MWC 2019.

Perubahan Tak Radikal Di Luar

Pada sudut fizikaliti Xiaomi Mi 9, tidak ada perubahan fizikal yang boleh saya lihat. Ia masih mengekalkan penggunaaan materi kaca sebagai penyudah bahagian belakangnya. Tapi Xiaomi memaklumkan yang di bahagian pinggir telefon, kemasan Mi 9 lebih melengkung dan ia meliputi keseluruhan sisi telefon.

Paparan 6.39″ AMOLED HD Penuh

Kewajarannya adalah untuk tingkatkan tahap ergonomik padanya. Sungguhpun tak nampak pada mata kasar, ia dirasai apabila anda mula memegang badan telefon ini.

Kaca pelindung trikamera belakang diperbuat daripada sapphire agar lebih rintang kepada calar. Bahagian panel paparan depan pula dilapisi Corning Gorilla Glass 5, sesuatu yang ruji pada telefon sepremium ini.

Bahagian belakang kaca dengan kesan pantulan unik

Tiada pengimbas cap jari anda boleh temui sama ada di depan ataupun belakang. Untuk edisi ini, semua model termasuklah varian asas diberikan pengimbas cap jari tertanam disebalik paparan AMOLED-nya.

Bergerak di bahagian utara paparan, notch kerdil telah menggantikan notch tab mandi pada Mi 8. Ia adalah satu kemajuan yang amat dialu-alukan.

Notch yang mengecil berbanding Mi 8

Satu lagi kemajuan yang dialu-alukan walaupun nampak kecil adalah kehadiran butang tambahan bersetentang dengan butang kawalan kuasa. Ia diprogramkan untuk memanggil Google Assistant untuk anda yang tak berkesempatan untuk memanggilnya menggunakan arahan suara.

BACA  Tak Cukup Dengan 64MP, Xiaomi Bakal Tembusi Sempadan 108MP Untuk Kameranya

Butang tambahan untuk panggil pembantu maya

Mi 9 Penuhi Tiga Kriteria Flagship 2019

Melihat pada helaian spesifikasi teknikal, saya berpendapat yang Xiaomi, seperti biasa, memenuhi segala kriteria-kriteria yang perlu ada pada sebuah kemas kini flagship. Paling penting adalah dengan penggunaan CPU terkini Qualcomm Snapdrgon 855.

Spesifikasi Teknikal

Paparan6.39"
AMOLED
HD+ Penuh
PemprosesSnapdragon 855
RAM6GB
8GB
12GB
Storan64GB
128GB
256GB
Sistem OperasiMIUI 10.2 Global
Android 9 Pie
Kamera belakang48MP F1.75
16MP F2.2 (ultralebar)
12MP F2.2 (telefoto)
Kemera depan20MP F2.0
Bateri3,300mAh
Qi Wayarles 20W

CPU kali ini menggunakan senibina 7nm berbanding 10nm pada cip yang sebelumnya.Tambahan pula, konfigurasi teras turut dikemas kini. Jika dulu konsep big.LITTLE digunakan, ia kini lebih heterogenous agar tugasan boleh diedarkan secara lebih optimum.

Perbandingan Snapdragon 855 berbanding CPU terdahulu

Antara manfaat yang boleh anda jangkakan adalah seperti penjimatan tenaga yang lebih tinggi tanpa perlu mengorbankan prestasi.

Selepas CPU, tentu anda akan berpaling pada bahagian kamera pula. Dalam edisi ini, Xiaomi mengenakan tiga kamera belakang kepada Mi 9. Kesemua kamera belakangnya boleh mengambil gambar dan bukannya mendukung fungsi sebagai mengukur kedalaman medan semata-mata.

Tiga kamera belakang untuk semua genre gamabr

Kamera utamanya menggunakan sensor 48MP IMX586. Saiz sensor 1/2″ adalah amat besar dalam sebuah telefon pintar. Ditambah pula dengan bukaan apertur F1.75, sepatutnya telefon ini tidak menghadapi masalah dalam ruangan gelap.

Kemudian, ia ada kamera telefoto. Macam biasa, ia berikan kemampuan telefoto 2x berbanding kamera utama. Kamera ketiga pada Mi 9 adalah kamera bersudut pandang lebar 117*. Dengan diberikan sensor 16MP dengan bukaan apertur F2.2.

Kemasan “halo” berikan rupa unik pada kamera

Untuk konfigurasi kamera belakang Mi 9, saya boleh simpulkan yang ia versatil dan ada potensi cemerlang dalam apa saja genre gambar yang ingin diambil. Cumanya perkakasan semata-mata bukanlah kata putus pada kekuasaan kamera, ada bahagian lain seperti pemprosesan imej serta antara muka yang turut menyumbangk epada pengalaman menggunakan kamera pada sesebuah telefon pintar.

BACA  Google Sheet Boleh Bantu Berkomunikasi Bila Anda Melancong Keluar

Selepas CPU dan kamera, jabatan ketiga yang pengguna akan lihat adalah pada bateri. Tanpa kuasa bateri, telefon yang berada dalam poket sekelip mata cumalah sebuah pemberat.

Saya agak khuatir dengan kapasiti bateri pad Mi 9. Pada 3,300mAh, ia 100mAh lebih kecil berbanding Mi 8. Diberikan bateri yang agak terhad, ia perlu bergantung harap pada kecekapan CPU dan sistem operasi MIUI yang menjalakannya.

Tapi, sedikit offset yang boleh dilihat pada pengorbanan memiliki bateri yang kecil adalah ia miliki keupayaan untuk dicas pantas, bukan saja berwayar tapi juga wayarles. Malahan, setakat ini, Mi 9 adalah 33% lebih pantas berbanding yang kedua terpantas.

Mengecas penuh secara wayarles Mi 9 mengambil masa cuma 90 minit sahaja. Saya pasti yang mengecas menggunakan wayar akan berikan keputusan yang lebih pantas daripada itu.

Selesai bahagian perkakasan, kita bergerak ke bahagian perisian.

Penyakit Lama Masih Belum Diubati

Sejak sekian lama, produk telefon Xiaomi menggunakan sistem operasi MIUI. Saya tiada masalah dengan MIUI kerana perubahan yang dibawakannya tak radikal dan lancar dari generasi ke generasi.

Tapi pada aplikasi kamera MIUI, tempat yang paling saya meluat. Sejak sekian lama saya memang tak gemar langsung menggunakan kamera pada Xiaomi dek APP kamera yang langsung tak intuitif.

UI kamera yang tiada tambah baik sejak sekian lama

Penggunaan font dan penyusunan elemen adalah benda yang perlu ditambah-baik. Untuk Mi 9, meter bengang itu naik sedarjat lagi. Mari saya jelaskan.

Di telefon Huawei atau HONOR (UI kamera terbaik pada pendapat saya) yang ada kamera superlebar, untuk mengaktifkan kamera itu, saya hanya perlu pinch kedalam dan selesai. Tapi di Mi 9, bukan saja tiada ciri gesture itu, butang pengaktifan kamera superlebar berada di bawah butang zum!

BACA  Mi Watch, Android Wear Termurah Daripada Xiaomi

Zum 1×

Zum 2×

Butang ultralebar tak disekalikan dengan butang zum

Itupun belum saya bercerita tentang mode manual yang macam tak manual langsung sejak sekian lama. Xiaomi tak sepatutnya mengambil kesempatan keatas pengguna hanya kerana harga yang kompetetif siri flagship Mi mereka berbanding pesaingnya.

Produk Yang Baik Tapi Jangan Terlalu Selesa

Secara keseluruhannya, saya masih memuji Xiaomi Mi 9 kerana telah menetapkan penanda aras yang agak tinggi untuk flagship 2019. Berkemungkinan besar ini adalah Mi pertama yang meninggalkan julat RM1,500 hingga RM2,000 untuk beri ruang pada Mi 9 SE yang dilengkapi Snapdragon 712.

Walau bagaimanapun, kem Xiaomi perlu mula mengorak strategi baru jika tak mahu kusyen empuk yang dinikmati sekian lama sebagai pengeluar flagship mampu milik dicuri orang lain.

Calon yang semakin garang mencabar adalah seperti HONOR View20 yang dijual pada harga RM1,999 ataupun Mate 20 yang berharga RM2,399. Bukan saja kualiti binaan yang baik, malah pengalaman kamera pada kedua-duanya bagai langit dengan bumi jika dibandingkan dengan mana-mana produk Xiaomi.

HONOR View20

Huawei Mate 20

Di China, Xiaomi Mi 9 dijual pada harga seperti berikut:

  • RAM 6GB + storan 128GB – RMB 2,999 (RM 1,815)
  • RAM 8GB + storan 128GB – RMB 3,299 (RM 1,996)
  • RAM 12GB + storan 256GB – RMB 3,999 (RM 2,420)

Sementara menunggu ketibaan Mi 9 di Malaysia, apa pendapat anda tentang flagship Xiaomi 2019 ini? Sila turunkan buah fikiran anda ke dalam ruangan komen.