fbpx

Nokia 9 PureView: Dilema Nokia Yang Masih Belum Dirungkai

Setelah sekian lama ditiup khabar angin, akhirnya Nokia 9 PureView diumumkan secara rasmi di MWC 2019. Nokia menerapkan rekaan yang agak radikal untuk flagship 2019 mereka ini apabila mengenakan 5 buah kamera di bahagian belakang dan tidak mengikuti trend paparan berlubang.

Tapi jika anda masih ingat dengan Nokia 8 dan Nokia 8 Scirocco, ia dibelengu beberapa masalah dan yang paling ketara adalah APP kamera yang tidak berfungsi lancar.  Kemudian, teknologi merakam audio OZO Audio yang sehingga penggunaan dunia sebenarnya tidak begitu ketara.

Setahun selepas Nokia 8 Scirocco, Nokia sepatutnya ada masa yanng panjang untuk muhasabah diri dan menampal segala kekurangan sebelum hadirnya Nokia 9 PureView. Ini adalah pengalaman saya menggunakan Nokia 9 PureVIew di MWC 2019.

Dilema Nokia Dalam Tahun 2019

Bersaing dalam dunia telefon zaman ini amatlah mencabar. Tidak kiralah niche mana yang ingin dimasuki, tanda aras yang diletakkan oleh pemain sedia ada amatlah tinggi.

iPhone miliki ekosistem yang lengkap dan sinergistiknya tinggi antara satu sama lain

Jika ingin menghasilkan produk dengan harga bangsawan, kita sudah ada iPhone. Sungguhpun miliki premium yang tinggi, ekosistem Apple adalah yang paling lengkap serta sinergistik antara produk amatlah utuh.

Galaxy S sentiasa hadir dengan ciri baru

Huawei Mate 20 Pro berikan pengalaman kamera yang mantap

Dalam gelanggang inovasi pula kita ada Huawei dan Samsung. Mereka ini tak henti-henti memperkenalkan sesuatu yang baru dalam setiap iterasi flagship. Daripada ekakamera ke dwikamera ke trikamera dan daripada paparan 16:9 ke paparan berlubang.

Mi 9 dengan flagship berharga marhaen

Untuk flagship marhaen, kita ada Xiaomi dan HONOR. Mi 9 dan View20, mereka ini telah mengucar kacirkan pasaran midrange apabila meletakkan produk berkelas flagship dalam kalangan telefon yang berharga kurang daripada RM 2,000.

BACA  TuneTalk beri 2GB percuma tanda minta maaf atas gangguan rangkaian

Itulah dilema Nokia, jika mereka ingin menyertai perlumbaan ini, mereka perlu sekurang-kurangnya sama hebat dengan pemain-pemain yang sedia ada.

Flagship 2018 Dalam Tahun 2019

Seperti penyakit Nokia 8, Nokia 9 turut menggunakan CPU satu generasi kebelakang tapi lebih parah. Hal ini kerana, beza Snapdragon 855 dengan 845 (CPU yang digunakan Nokia 9) adalah lebih nyata kalau menurut Xiaomi. Maka, Nokia 9 ketinggalan sekitar 45% daripada sudut prestasi berbanding pesaing yang gunakan CPU terkini.

Snapdragon 855 45% lebih baik barbanding sebelumnya

Semasa Nokia 8, Snapdragon 835 dan 820 tidaklah berapa signifikan bezanya.

Badan Nokia 9 PureView ditempa daripada sebongkah alumunium siri 6000 yang dimaklumkan memberi keutuhan pada struktur binaannya. Bahagian depan dan belakang telefon ini kaca dilapisi Corning Gorilla Glass 5 yang mudah comot, sama seperti telefon-telefon lain yang mengguakan kemasan seumpamanya.

Spesfikasi Nokia 9 PureView

Paparan5.99"
OLED
PemprosesSnapdragon 845
RAM6GB
Storan128GB
Sistem OperasiAndroid 9 Pie
AndroidOne
Kamera belakang2 x 12MP (RGB)
3 x 12MP (monokrom)
Kemera depan20MP F2.0
Bateri3,320mAh
Qi Wayarles 20W

Di bahagian muka, telefon ini dikenakan paparan OLED sebesar 5.99″. Tiada notch hadir apatah lagi paparan berlubang. Dahi dan dagunya agak luas, nampak seperti sebuah flagship tahun 2017. Bahagian atas dan bawah yang luas itu tidak dimanfaatkan Nokia untuk memasukkan stereo speaker. Tekaan saya adalah untuk menjimatkan kos penghasilan.

Bateri yang menguasakan segala kelengkapan elektronik Nokia 9 memiliki kapasiti 3,320mAh dengan sokongan pengecasan pantas QC 3.0 dan pengecasan wayarles 10W.

Nokia 9 Pureview ada 3,320mAh bateri yang dicas melalui USB-C

Kamera Overkill, Pengalaman Tak Seberapa

Besar kemungkinan sebahagian besar kos telefon ini difokuskan pada pentakamera belakang. Daripada 5 buah kamera itu, 3 daripadanya adalah kamera monokrom dan baki 2 adalah RGB. Menariknya, kesemua 5 kamera memiliki sensor 12MP F1.2.

BACA  Oppo Reno 10x zoom kembali menyengat dengan prestasi lebih hebat

Pentakamera nampak menggerunkan tapi CPU dirasakan terbeban mengendalikan data dari semua kamera sekaligus

Tiada kamera telefoto, tiada kamera superlebar sebaliknya hanya yang tahu saja akan tahu tentang kamera pada Nokia 9. Ia ada julat HDR sehingga 12.5 stops yang bagi orang biasa macam saya tak bermakna apa-apa pun kalau benar pun, saya akan menoleh ke kamera sebenar dengan sensor yang lebih besar untuk tujuan tersebut.

Ada juga kamera TOF yang menyimpan data kedalaman medan agar jarak fokal boleh diubah walaupun selepas gambar diambil.

Sungguhpun memiliki spesifikasi kamera gempak, pengalaman menggunakannya kurang memuaskan.

Seperti Nokia 8 dulu, aplikasi kamera pada Nokia 9 buggy dan perlahan. Sekiranya anda perlukan sebuah kamera yang lancar ataupun anda ingin mengambil gambar objek bergerak pantas, lupakanlah Nokia 9. Nak tukar dari satu mode ke mode yang lain mengambil masa yang panjang, sudahnya objek yang anda ingin rakam hilang dari bingkai.

Kalau anda tanya siapakah yang sesuai gunakan kamera Nokia 9? Saya rasa jurugambar landskap yang punyai banyak masa untuk frame-kan gambar, bermain dengan setting, dan yang miliki kesabaran yang tinggi.

Benchmark saya untuk pengalaman kamera telefon pintar sejak sekian lama adalah Huawei dan HONOR kerana daripada susunan UI dan font yang digunakan, saya rasakan ia amat intuitif dan mesra pengguna.

Selain daripada kamera, saya tak berapa risau dengan sistem operasi yang dijalankannya. Semua peranti Nokia menjalankan AndroidOne dan barisan yang diumumkan di MWC 2019, semuanya menjalankan Android 9 Pie. Pastinya pengalaman Android yang bakal anda rasai amat lancar.

Malah mereka menjanjikan kemas kini sekurang-kurangnya 2 tahun lamanya!

Kesimpulan

Nokia 9 PureView dibuka tempahannya pada harga USD 699 (RM 2,847). Telefon pada harga setara yang boleh diperoleh adalah seperti iPhone XR, Samsung Galaxy S10e, OnePlus 6T, dan beberapa lagi.

BACA  Pelancaran Honor Magic Watch 2 di Malaysia minggu depan

Untuk beberapa USD tambahan, saya beroleh telefon yang lebih berupaya memberikan pengalaman penggunaan yang lebih konsisten, saya tak nampak mengapa pengguna lain tidak akan berfikiran yang sama.

Masalah yang dihadapi Nokia saya rasakan sama seperti Sony. Mereka tidak belajar daripada yang lebih berjaya seperti Apple misalnya.

Apple gunakan perkataan bombastik untuk menampakkan ciri biasa pada telefon lebih menonjol. Liquid Retina Display hanyalah ditujukan pada panel paparah HD OLED. Hal ini menampakkan iPhone XR lebih premium sedangkan realitinya tidak.

Tapi dalam kes Nokia, mereka meletakkan teknologi yang menyebabkan telefon terpaksa dijual pada harga lebih tinggi. Apa gunanya telefon supercanggih jika pengguna biasa tak mampu menggapainya?

Nokia sepatutnya tidak terlalu mengejar inovasi sepatutnya menghasilkan satu produk biasa yang berfungsi lancar. Contohnya seperti Xiaomi, OPPO, vivo, dan honor. Mereka ini bermula kecil tapi apabila sudah bertapak kukuh, barulah mula mengembara ke lapangan baru seperti siri MIX dari Xiaomi.

Adakah anda setuju dengan pendapat saya? Jika tidak, bangkang saya dalam ruangan komen.