Gambar misteri telefon pintar Honor dengan 3 kamera belakang terdedah

Buat masa ini, siri Honor 10 ialah barisan terkini untuk telefon pintar keluaran Honor. Selepas memperkenalkan Honor 10 Lite tahun lepas, satu khabar tentang telefon pintar kelas pertengahan dari Honor telah timbul.

Laman web teknologi dari Rusia mendedahkan maklumat tentang Honor 10i. Beberapa spesifikasi peranti tersebut bersama gambar telah dikongsikan.

Dalam laporan tersebut, ia menyatakan Honor 10i memiliki skrin IPS LCD bertakuk, berukuran 6.21-inci dengan resolusi HD Penuh. Ia dikuasakan cip Kirin 710 bersama RAM 4GB dan storan dalaman 128GB.

Kapasiti baterinya tidak diberitahu tetapi dikatakan ia menyokong pengecasan pantas serta NFC untuk pembayaran nirsentuh.

Dalam gambar tersebut, Honor 10i menampilkan tiga kamera belakang, gandingan sensor 24MP+8MP+2MP. Untuk kamera hadapan, ia menggunakan sensor 32MP yang terletak di dalam takuk kecil titisan air.

Pengimbas capjari fizikal terletak di belakang. Badan belakangnya menerima kemasan efek kaca aurora yang sering kelihatan di telefon pintar keluaran Honor.

Tiada khabar mengenai harganya serta tarikh jualannya. Sedikit sebanyak, Honor 10i amat menyerupai Honor 10 Lite, kecuali pada kamera. Tetapi ia lebih amat menyerupai Huawei Nova 4e yang memiliki skrin 6.15-inci, 3 kamera belakang serta dikuasakan cip Kirin 710.

Honor telahpun memiliki beberapa model telefon pintar di bawah RM1,000 seperti Honor 10 Lite dan Honor 8X. Apatah lagi, Honor 8C akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Adakah Honor 10i akan membuat kemunculan di Malaysia? Agak sukar dikatakan.

[Sumber: HiTech]

BACA  Promosi & Diskaun Honor diteruskan dengan Appyness Sale