fbpx

Galaxy A10 dan A20 diumum di luar negara dan dalam perjalanan ke Malaysia

Samsung nampaknya mahu meluaskan keluarga Galaxy A tahun ini dengan amat pantas. Di Rusia, Samsung baru sahaja mengumumkan Galaxy A20 dengan spesifikasi di bawah Galaxy A30.

Samsung Galaxy A20

Galaxy A20 yang dilancarkan di Rusia ini memiliki skrin Infinity-V 6.4-inci menggunakan paparan Super AMOLED, sama seperti Galaxy A30. Cuma resolusinya rendah sedikit, hanya HD+ 1520×720. Ia diperkasa cip pemproses Exynos 7884 bersama RAM 3GB dan storan 32GB. Ia menerima kad mikroSD sehingga 512GB untuk storan tambahan.

Kameranya dwi-lensa di belakang, gabungan lensa utama 13MP F1.9 dan lensa kedua 5MP F2.2. Kamera hadapan di dalam takuk V pula memiliki lensa 8MP F2.2. Pengimbas capjari fizikal terletak di belakang dan ia menyokong Samsung Pay jika terdapat NFC.

Sama seperti keluarganya yang lain, Galaxy A20 memiliki bateri 4,000mAh tetapi tidak pula dinyatakan adakah ia datang dengan port USB-C dan pengecasan pantas.

Di Rusia, Galaxy A20 dijual pada harga RUB13,990 (~RM885). Walaupun mahal di Rusia, kami yakin harganya pasti jauh lebih murah di Malaysia. Menariknya, ia telah ditemui di dalam senarai SIRIM bersama-sama Galaxy A10. Jadi kita boleh jangkakan ia akan dijual di Malaysia tidak lama lagi.

Samsung Galaxy A10

Galaxy A10 pula telah dilancarkan di India dan ia menampilkan skrin Infinity-V 6.2-inci HD+. Pemproses sama digunakan, Exynos 7884 dan RAM 2GB serta storan 32GB. Kamera belakangnya 13MP dan bateri pula 3,400mAh. Ia dijual pada harga INR8,940 (~RM500).

Samsung juga telah mengeluarkan jemputan ke acara The Galaxy A Unpacked bulan depan, dan dijangka tiga model baru Galaxy A akan diperkenalkan. Samsung dilihat semakin agresif menghasilkan telefon pintar kelas pertengahan. Ia merupakan kawasan yang didominasi pengeluar telefon China beberapa tahun kebelakangan ini dan Samsung dilihat mahu merampasnya semula dengan peranti berskrin Super AMOLED serta bteri besar pada harga lebih mampu milik.

BACA  AMD Radeon akan perkasa grafik di dalam cip Samsung Exynos

[Sumber: Samsung Rusia, GSMarena]