fbpx

Skrin nirtakuk Galaxy A90 bukan lagi khabar angin

Gambar Utama: Galaxy A50 diedit dan dibuang takuk

Samsung kini giat melancarkan telefon pintar Galaxy siri-A. Selepas melancarkan Galaxy A30 dan Galaxy A50 di Malaysia, Samsung telah mengumumkan Galaxy A10 di India dan Galaxy A20 di Rusia.

Samsung akan mengadakan majlis pelancaran The Galaxy A Unpacked di Bangkok, Milan dan San Paulo. Belum dimaklumkan apakah yang akan dilancarkan tetapi khabar angin menyatakan ia akan melancarkan Galaxy A40 dan Galaxy A90.

Walaupun tidak secara rasmi, Galaxy A90 boleh dikatakan akan diperkenalkan tidak lama lagi berdasarkan beberapa maklumat yang terdapat di laman rasmi Samsung.

Di Samsung Indonesia, laman utama Galaxy A menyatakan Galaxy A90 akan hadir dengan skrin Super AMOLED nirtakuk, dalam satu nota kaki kecil. Ini bukanlah kali pertama nama Galaxy A90 disebut kerana ia telah disenaraikan sebagai peranti di dalam promosi Asphalt 9 Samsung Amerika.

Jika tiada takuk atau lubang di skrin, jadi bagaimanakah kedudukan kamera hadapan di Galaxy A90? Ini membuka kepada pelbagai andaian di mana ia mungkin mengikut cara beberapa telefon pintar nirtakuk sebelum ini.

Mi MIX 3 menggunakan skrin gelungsur untuk menyimpan kamera hadapan manakala Vivo V15 Pro dan OPPO F11 Pro pula menggunakan modul kamera boleh sembunyi. Ada yang mengatakan Galaxy A90 akan mengikut cara kedua tetapi masih tiada bukti kukuh mengenainya.

Mengikut namanya, Galaxy A90 pastinya lebih berkuasa dari Galaxy A30 dan Galaxy A50 yang telah dilancarkan di Malaysia. Kedua-duanya memiliki skrin besar 6.4-inci dan bateri mega 4,000mAh yang dicas melalui USB-C dan menyokong pengecasan pantas.

BACA  Produk Raspberry Pi Ini Dicanang Sebagai Pengganti Desktop Pada Harga Kurang RM150