Huawei P30 dan P30 Pro hadir dengan kamera baru & zum terlampau

Huawei hari ini melancarkan siri P30 di kotaraya Paris, meneruskan lagi kerjasama mereka dengan Leica untuk menghasilkan kamera yang hebat di telefon pintar. Dua model diperkenalkan malam ini iaitu P30 dan P30 Pro.

Kedua-dua model ini dikuasakan oleh cip pemproses Kirin 980, sama seperti yang terdapat di siri Mate 20. RAM pula ditetapkan pada 8GB dengan storan dari 128GB sehingga 512GB. Huawei mengekalkan slot kad hibrid, dengan sokongan kad memori NM seperti di siri Mate 20.

Huawei P30 Pro

Skrin P30 Pro berukuran 6.47-inci dari jenis OLED, dengan takuk kecil titisan air di dahi. Resolusinya hanya HD Penuh+ 2340×1080. Kali ini, ia dipasang pengimbas capjari di dalam skrin, dikatakan lebih baik dari Mate 20 Pro.

Bateri lebih besar kini dipasang di P30 Pro, dengan kapasiti 4,200mAh. Ia disertakan pengecasan pantas Huawei Supercharge 2.0 40W menerusi port USB-C. Kali ini, ia memiliki pengecasan wayarles 15W, yang turut boleh mengecas peranti lain secara wayarles.

Jek audio 3.5mm telah lama hilang dari versi Pro sejak dulu dan ia juga sama di P30 Pro. Bunyi pula dikeluarkan dari permukaan skrin, menggunakan teknologi getaran akustik. Ini membolehkan ia membuang lubang speaker di bahagian atas telefon.

Huawei kali ini menggunakan teknologi kuad kamera Super Sensing dengan optik Leica iaitu:

  • Lensa utama 40MP F1.6 OIS
  • Lensa ultra lebar 20MP F2.2
  • Lensa telefoto periskop 8MP F3.4 5x zum optikal
  • Lensa Time of Flight (ToF)
  • Lensa hadapan 32MP

Dengan kamera baru ini, Huawei menjanjikan tangkapan suasana malap yang lebih cerah. Walaupun ia dipasang lensa 5x zum optikal, Huawei menjanjikan kualiti lossless sehingga 10x zum. Malah, Huawei memberi pilihan untuk zum sehingga 50x di P30 Pro.

BACA  Dapatkan Huawei P30 percuma dengan kontrak pascabayar Celcom

Rakaman video menerima naik taraf besar dengan penstabil imej gabungan OIS dan AIS. Mengedit video juga lebih mudah dengan satu sentuhan AI. Di samping itu, Huawei turut memperkenal rakaman video pelbagai lensa, menggabungkan lensa utama dan lensa ultra lebar serentak.

Kaca melengkung di sisi digunakan di bahagian depan dan belakang P30 Pro. Antara perbezaan kali ini ialah bahagian bawah dan atas telefon yang rata, membolehkan ia tegak berdiri sendiri.

Seperti model sebelumnya, Huawei P30 Pro mengekalkan kekalisan air dan debu IP68. Untuk menjadikan ia lebih sejuk dari biasa terutama ketika bermain game, sistem penyejukan graphene film bersama paip haba baru dipasang untuk memastikan prestasi terbaik sepanjang masa.

Huawei P30

Kehilangan nama Pro sebenarnya membuatkan P30 kehilangan banyak perkara. Antaranya ia tidak memiliki kekalisan air dan debu, hanya IP53 yang melindungi dari percikan.

Saiz skrin P30 juga lebih kecil, hanya seluas 6.1-inci tetapi masih jenis OLED dan resolusi HD Penuh+. Skrin ini juga bertakuk kecil titisan air.

Dengan saiz skrin dan badan lebih kecil, baterinya juga lebih kecil dengan kapasiti hanya 3,650mAh. Tetapi bukan itu sahaja. P30 tidak memiliki pengecasan wayarles dan ia menyokong pengecasan pantas Huawei SuperCharge 22.5W sahaja.

Yang baiknya, P30 masih memiliki jek audio 3.5mm. Ia juga menggunakan pembesar suara panggilan yang biasa di atas skrin, bukannya di dalam skrin. Apa yang ada di dalam skrin ialah pengimbas capjari. Skrin hadapan ini juga rata di sisi, tidak melengkung. Tetapi kaca di belakang badan P30 memiliki sisi melengkung.

Kamera juga ada sedikit berbeza. P30 hanya ada tiga kamera belakang serta tidak menggunakan lensa periskop.

  • Lensa utama 40MP F1.8 OIS
  • Lensa ultra lebar 16MP F2.2
  • Lensa telefoto 8MP F2.4 OIS
  • Lensa hadapan 32MP
BACA  Pelancaran Huawei P30 di Malaysia ditetapkan minggu depan

Kamera belakang P30 memiliki keupayaan 3x zum optikal. Zum maksima pula diberikan sehingga 30X. P30 turut diberikan semua fungsi baru video yang ada di P30 Pro seperti mengedit video mudah dengan satu sentuhan AI, serta rakaman video pelbagai lensa, menggabungkan lensa utama dan lensa ultra lebar serentak.

Huawei mengumumkan tiga warna untuk P30 dan P30 Pro – Aurora, Breathing Crystal dan Hitam. Terdapat satu warna tambahan untuk model P30 Pro, dipanggil Amber Sunrise.

Harga jualan dengan spesifikasi RAM dan storan Huawei P30 dan P30 diumumkan seperti berikut:

Huawei P30
RAM 6GB + storan 128GB – EUR799 (~RM3,683)

Huawei P30 Pro
RAM 8GB + storan 128GB  – EUR999 (~RM4,604)
RAM 8GB + storan 256GB  – EUR1,099 (~RM5,065)
RAM 8GB + storan 512GB – EUR1,249 (~RM5,757)

Harga di eropah memang sedikit mahal kerana cukai yang lebih tinggi. Masih belum ada berita tentang tarikh jualan dan harga di Malaysia. Tetapi kami yakin, harganya tidak jauh berbeza dengan Mate 20 Pro semasa dilancarkan tahun lepas. Jangkaan kami, harga P30 di bawah RM3,000 dan P30 Pro pula bermula di bawah RM4,000.

Huawei Malaysia turut memberi petunjuk akan memberikan hadiah percuma untuk tempahan awal berupa Huawei Backup, storan 1TB yang turut bertindak sebagai pengecas pantas. Mereka memaklumkan, terdapat 11 lokasi dipilih sebagai jualan hari pertama Huawei P30 dan P30 Pro nanti.