fbpx

Pandangan ringkas Vivo Apex 2019: teknologi hari ini yang dirahsiakan

Vivo Malaysia telah menjemput media untuk sama-sama mencuba telefon pintar konsep mereka yang dinamakan Apex. Telefon ini tidak akan dihasilkan secara komersial dan dijual di pasaran, sebaliknya ia lebih kepada petunjuk beberapa teknologi baru yang Vivo hasilkan untuk telefon pintar akan datang.

Tema yang dibawakan oleh Apex ialah tiada lubang. Telefon ini tiada langsung lubang untuk mengecas, jek audio, lubang pembesar suara mahupun untuk memasukkan kad sim dan mikroSD. Selain itu, telefon ini juga membawakan konsep tiada butang fizikal serta skrin tanpa bingkai dan takuk, dan juga tiada kamera hadapan.

Anda boleh tonton penerangan ringkas penulis tentang Vivo Apex menerusi video di atas, atau membaca lebih lanjut tentangnya dalam perkongsian di bawah.

Prototaip Apex ini adalah jawapan Vivo untuk menunjukkan telefon pintar boleh berevolusi ke dimensi berlainan. Mungkin tiada lubang dan butang fizikal di telefon pintar bunyinya agak janggal tetapi ia bukanlah mencapai tahap membuat sebuah roket jet. Sebaliknya, Vivo menunjukkannya dengan penyelesaian yang sangat mudah.

Untuk mengecas, Apex tidak menggunakan pengecasan wayarles sebaliknya melalui pengecasan magnetik yang digelar MagPort. Dari pandangan penulis sendiri, cara ini lebih praktikal dan efektif kerana ia mudah digunakan dalam apa jua aktiviti dan tidak menyekat pergerakan pengguna. Walaupun pengecas wayarles tidak bersambung dengan kabel, ia tidak boleh mengecas tanpa diletakkan di atas pad pengecas. Kalau mahu bermain games sambil mengecas, ia tidak dapat dilakukan dengan pengecas wayarles.

Penghasilan bunyi tanpa lubang pembesar suara bukanlah perkara baru. Apex menggunakan konsep yang sama seperti Huawei P30 Pro, menghasilkan bunyi dari skrin sendiri melalui getaran. Bunyi yang dihasilkan melalui cara ini masih berkualiti dari telinga penulis.

BACA  Vivo V17 akan tampil dengan kamera unik minggu depan

Penambahan storan tambahan melalui kad mikroSD nampaknya bukan pilihan di Apex, jadi storan dalaman yang besar adalah caranya atau menggunakan storan awan. Bagi kad sim, ia boleh menggunakan eSIM dan Vivo menyatakan, Apex dilengkapi teknologi 5G di dalamnya.

Satu perkara yang kurang menarik di Apex ialah kamera swafoto. Apex tidak memiliki kamera hadapan untuk memberi ruang maksima skrin tanpa takuk. Untuk mengambil gambar swafoto, caranya ialah dengan menggunakan kamera belakang dan menjadikan badan belakangnya yang berkilat seperti cermin sebagai rujukan. Butang disisi boleh digunakan untuk menangkap gambar. Cara ini tidak memberi ketepatan semasa mengambil gambar membuatkan beberapa cubaan tangkapan perlu dibuat.

Bercakap tentang butang, Apex tidak memiliki sebarang butang fizikal padanya. Ia digantikan dengan butang kapasitif yang sensitif sentuhan. Teknologi ini juga bukan baru kerana HTC telah memperkenalkannya di HTC U12+. Pengalaman menggunakan butang kapasitif ini agak kurang menarik kerana tiada rasa butang sebenar membuatkan ia susah ditekan tanpa melihat kedudukan butang.

Perkara terbaik pada Vivo Apex ini ialah pengimbas capjari dalam skrin. Ia adalah pengimbas paling responsif dan paling cepat mengimbas pernah penulis gunakan. Lebih hebat lagi, kawasan mengimbasnya tidak terhad pada satu ruang kecil di skrin, sebaliknya seluruh skrin boleh digunakan untuk mengimbas capjari. Teknologi ini pasti akan menjadi standard di telefon pintar baru selepas ini.

Vivo Apex dilengkapi perkakas berkuasa tinggi terbaru seperti cip Snapdragon 855, RAM 12GB dan storan dalaman 256GB. Badannya diperbuat dari bingkai besi dan diselaputi kaca melengkung seluruh badan, menjadikannya sangat selesa dipegang.

Telefon pintar Vivo Apex sememangnya sebuah telefon pintar yang menarik. Penulis tidak merasakan ia satu konsep dan prototaip yang sukar untuk dikomersialkan kerana teknologi yang digunakan bukanlah sesuatu yang luar biasa. Malah, Vivo sendiri telah menjadikan telefon konsep Apex tahun lepas, kepada telefon pintar NEX yang dijual kepada orang ramai.

BACA  Perbandingan Kamera: Realme X2 Pro vs. iPhone 11 Pro Max vs. Mi Note 10

Cuma dengan kedudukan Vivo, ia mungkin akan meletakkan harga telefon pintar Apex ini sebaris dengan Huawei P30 Pro dan Galaxy S10+ melebihi RM3,000. Adakah pengguna bersedia untuk memiliki teleofn yang sangat canggih ini pada harga berikut? Vivo perlu membuat sedikit lagi pengubahsuaian untuk menjadikannya berbaloi untuk dimiliki.

Semoga Vivo Apex 2019 akan menemui sinar lampu LED di stor pengedar telefon pintar Vivo tidak lama lagi.