fbpx

TM pamer kehebatan 5G dengan kelajuan melebihi 5Gbps

Pameran 5G pertama di Malaysia akan diadakan bermula esok, 18 hingga 21 April 2019 di Putrajaya. Ia akan menjadi medan persembahan teknologi 5G bukan sahaja dari syarikat telekomunikasi, tetapi dari penyedia penyelesaian rangkaian 5G.

Telekom Malaysia (TM) merupakan salah satu peserta yang membuka reruai di pameran 5G ini. TM menyediakan stesen pengkalan 5G mereka yang berfungsi, berkemampuan membuat penghantaran data berkelajuan gigabit.

Stesen pengkalan 5G TM terletak di reruai pameran 5G yang diadakan di Kompleks Perbadanan Putrajaya. TM melaporkan, ia dapat membawakan kelajuan melebihi 5Gbps. Unit NSA ini beroperasi pada band mmWave 28GHz.

Pemangku CEO TM, Imri Mokhtar berkata, “Sebagai syarikat telekomunikasi yang mengaktifkan aspirasi digital Malaysia, TM berada di kedudukan terbaik bagi membawakan 5G untuk negara. TM memiliki rekod kerja yang panjang dan terbukti berkesan dalam pemgbangunan negara, serta kepakaran dan pengalaman yang diperlukan untuk memacu Malaysia menjadi negara digital. Acara ini adalah tempat terbaik untuk memperlihatkan kebolehan dan kesediaan TM menyediakan kerangka rangkaian 5G dan aplikasinya di Malaysia.”

Dalam pameran ini, TM turut akan mempersembahkan beberapa contoh penggunaan 5G seperti Rumah Pintar dan Perjalanan Pintar. TM juga melalui bahagian TM R&D, menampilkan Helmet Pintar ciptaan mereka.

Helmet keselamatan pintar ini dilengkapi beberapa sensor dan kamera video yang membenarkan pemantauan wayarles dan masa nyata, untuk situasi seperti pengesan kemalangan dan penilaian impak. Ia juga boleh digunakan untuk mengesan keganasan dan latihan jarak jauh serta pemantauan kecemasan yang boleh digunakan untuk membuat analisis bagi mencipta ruang kerja yang lebih selamat.

Helmet pintar ini sedia digunakan untuk pelbagai industri seperti minyak & gas, pembinaan, penghasilan dan banyak lagi.

BACA  Xperia 5, Versi Kompak Xperia 1 Akan Dipertontonkan Di IFA 2019

Pameran 5G pertama di Malaysia ini akan dibuka kepada orang ramai pada 20 & 21 April 2019. Ia diadakan di Kompleks Perbadanan Putrajaya, yang terletak berhadapan dengan Istana Kehakiman.