fbpx

Nokia 1 Plus, peranti mampu milik berkuasa Android Go telah tiba di Malaysia

Android Go Edition ialah sistem operasi Android yang boleh berjalan lancar walaupun dengan pemproses dan RAM yang rendah. Tetapi ia perlu dijalankan dengan aplikasi Go yang turut rendah keperluan perkakas dan mesra ruang storan.

Nokia Malaysia kini memperkenalkan Nokia 1 Plus, peranti berasaskan Android 9 Go Edition yang diperkenalkan dengan harga rendah tetapi masih boleh berjalan dengan lancar.

Nokia 1 Plus kini dijual di Malaysia pada harga RM329 sahaja. Hadiah percuma berupa casing edisi terhad turut diberikan, selagi stok masih ada.

Kuasa dalaman Nokia 1 Plus digerakkan oleh cip Mediatek MT6739WW dengan 4-teras berkelajuan 1.5Ghz. Ia dipadankan dengan RAM 1GB serta storan dalaman 8GB.

Skrin telefon ini berukuran 5.45-inci, dalam resolusi FWVGA+ (960×480) bernisbah 18:9 serta tidak bertakuk. Dengan saiz skrin kecil ini, ia memiliki bateri yang agak kecil, hanya 2,500mAh. Bateri ini dicas melalui port mikroUSB.

Untuk kamera, ia dipasang sensor 8MP di belakang dengan autofokus dan LED Flash, serta sensor 5MP di hadapan. Kamera hadapan ini dilengkapi mod “beautify” untuk menjadikan tangkapan swafoto lebih menarik.

Nokia 1 Plus ini sesuai untuk mereka yang menggemari rekaan peranti Nokia pada harga yang amat mampu dimiliki. Atau mahu peranti Android 9 Go yang lebih murah, boleh mencuba Wiko Y60 yang berharga RM269.

[Sumber: Nokia Mobile Malaysia]

BACA  Voice Search di Youtube kini lebih bijak, mainkan video selepas arahan diterima