Rentetan daripada video buka kotak Realme 3 Pro kami di SoyaCincau BM tempoh hari, tentu anda perasan yang saya ada memetik Xiaomi Mi 9 SE sebagai peranti yang miliki spesifikasi setara dengan Realme 3 Pro. Saya ambil maklum tentang ada segolongan anda yang tidak bersetuju dengan pendapat saya ini dan meletakkan Redmi Note 7 sebagai pesaing setara.
Untuk itu, saya nak bawakan perbincangan ini sedikit lebih dalam. Kali ini saya ingin membandingkan Realme 3 Pro dan Xiaomi Mi 9 SE, spesfikasi demi spesifikasi untuk menjelaskan pendirian saya.
Jadual Perbandingan Spesifikasi
Realme 3 Pro & Xiaomi Mi 9 SE
Harga
Untuk kelas pertengahan, faktor harga amatlah mempengaruhi keputusan anda dalam pemilihan telefon pintar. Dalam kes Realme 3 Pro dan Xiaomi Mi 9 SE, rata-rata varian Realme 3 Pro lebih murah berbanding yang satu lagi.
Berikut adalah harga Realme 3 Pro mengikut varian:
- Realme 3 Pro – RAM 4GB + storan 64GB – RM899
- Realme 3 Pro – RAM 6GB + storan 128GB – RM1,099
Berikut adalah harga Xiaomi Mi 9 SE mengikut varian:
- Xiaomi Mi 9 SE – RAM 6GB + 64GB – RM1,099
- Xiaomi Mi 9 SE – RAM 6GB + 64GB – RM1,499
Perbezaan yang nyata adalah pada varian RAM 6GB dan storan 128GB yang miliki perbezaan sebanyak RM400.
Untuk varian termurah pula, Realme 3 Pro mendahului dengan harga permulaan RM899 namun anda hanya beroleh RAM 4GB berbanding varian termurah Mi 9 SE yang miliki RAM 6GB.
Perbezaan harga itu perlu juga dipertimbangkan daripada segi spesifikasi teknikal kedua-duanya untuk mengetahui sama ada RM400 yang anda keluarkan itu diterjemah kepada telefon yang lebih baik ataupun tidak.
Muka seterusnya: SoC, RAM & Storan
[nextpage title=”SoC, RAM & Storan”]
Sistem-on-Chip (SoC)
Pada bahagian inilah perdebatan yang hangat saya kenal pasti di ruangan komen. Memang benar Xiaomi Mi 9 SE diperkasa SoC Snapdragon 712 yang lebih baru berbanding Realme 3 Pro yang dijalankan oleh Snapdragon 710.
Tapi jika anda pergi ke laman rasmi setiap SoC untuk mengamati spesifikasi teknikal kedua-duanya, anda akan dapati mereka adalah SoC yang sama, kecuali pada clockspeed.
Perbezaan clockspeed antara kedua mereka adalah 0.1 Ghz sahaja.
Kedua-dua mereka adalah SoC daripada acuan 10nm, menyokong Wi-Fi 5Ghz, dan Bluetooth 5 jika itu adalah antara ciri yang penting buat anda.
RAM & Storan
Realme 3 Pro hadir dengan varian RAM 4GB dan storan 64GB. Untuk telefon setentangnya pula, varian terendah adalah yang miliki RAM 6GB dan storan 64GB.
Sudah tentu Realme 3 Pro akan ada harga permulaan lebih rendah dengan varian sebegitu. Tapi untuk varian tertinggi, kedua-dua mereka tawarkan spesifikasi serupa iaitu yang ada RAM 6GB dan storan 128GB.
Tapi pada bahagian ini, kelebihan mata saya berikan pada Realme 3 Pro sebab dia ada slot khas untuk memasukkan kad mikro-SD sedangkan Mi 9 SE langsung tiada walaupun slot hibrid.
Bagi saya, 64GB sudah cukup kegunaan saya. Tapi untuk yang gemar mengambil gambar, stories, video, dan sebagainya, 64GB tentunya mengalir laju jika tiada sokongan mikro-SD.
Muka seterusnya: Paparan, Kamera, & Sistem Operasi
[nextpage title=”Paparan, Kamera, & Sistem Operasi”]
Paparan: AMOLED vs LCD
Paparan juga bahagian yang ada yang keliru dalam video buka kotak saya. Diharapkan dalam bentuk tulisan mereka akan lebih faham.
Sebab saya mengugurkan istilah “plus” pada resolusi dan lebih gemar hanya menyebut HD Penuh berbanding HD Penuh “plus” adalah perbezaan nisbah paparan pada kedua-dua telefon ini adalah tidak ketara dan tidak perlu ditekankan.
Tambahan pula, kebanyakkan telefon sekarang memang paparannya lebih besar daripada standard 1980 x 1080. Samalah kesnya dengan telefon. Kita secara kasual tidak memanggil telefon dalam tangan kita “telefon pintar” kerana ia sudah sangat biasa.
Realme 3 Pro dan Mi 9 SE kedua-duanya ada paparan HD Penuh tapi hanya Mi 9 SE menggunakan panel paparan AMOLED sedangkan Realme 3 Pro ada paparan LCD. Daripada segi saiz, Mi 9 SE adalah yang terkecil iaitu 5.97″ berbanding 6.3″ pada Realme 3 Pro.
Kamera: Dwikamera vs Trikamera
Bahagian kamera sudah tentu yang menjadi faktor penentu terbesar bagi menjelaskan perbezaan RM400 antara kedua-dua produk ini.
Tanpa disangkal lagi, Xiaomi Mi 9 SE miliki keupayaan kamera yang nyata lebih baik berbanding Realme 3 Pro.
Spesifikasi kamera belakang Xiaomi Mi 9 SE
- 48MP F1.75
- 8MP F2.4 (telefoto)
- 13MP F2.4 (ultralebar)
Spesifikasi kamera belakang Realme 3 Pro
- 16MP F1.7
- 5MP F2.4 (bokeh)
Nyata lebih baik yang saya maksudkan bukan saja pada sensor 48MP sahaja, tapi ketiga-tiga kamera Mi 9 SE miliki jarak fokal berbeza dan boleh digunakan untuk mengambil gambar, jadikannya lebih versatil.
Realme 3 Pro pula megambil pendekatan konservatif apabila hanya mengenakan konfigurasi dwikamera belakang klasik yang menggunakan kamera sekunder hanya untuk simulasi bokeh.
Maka, keupayaan pengimejan Realme 3 Pro jauh lebih terhad berbanding pesaingnya.
Namun, kecualilah anda miliki hobi mengambil gambar dan video serta mengambil berat akan kualiti gambar daripada lensa telefon, saya katakan Realme 3 Pro lebih berbaloi.
Untuk selfie, Realme 3 Pro miliki sedikit kelebihan dengan kamera 25MP berbanding 20MP yang ada di Mi 9 SE.
Sistem Operasi
Walaupun kedua-dua telefon ini menjalankan sistem operasi berasaskan Android 9 Pie sejurus keluar kotak, antara muka yang dimiliki mereka berbeza antara satu sama lain.
Semasa artikel ini ditulis, Realme 3 Pro menggunakan ColorOS 6.0 manakala Mi 9 SE menjalankan MIUI 10.2.
Daripada segi antaramuka, mereka mengambil inspirasi daripada iOS apabila tetapan default home launcher mereka tiada app drawer. Tapi untuk pengguna app drawer tegar, fungsi itu ada pada ColorOS yang boleh anda aktifkan dalam ruangan setting.
Ada yang mendakwa sistem operasi ini menghantar data pengguna secara senyap-senyap ke China tapi sehingga kini tiada bukti berkaitannya.
Kalau anda katakan MIUI menghantar maklumat ke China, mengapa ColorOS tidak sedangkan ia juga dibangunkan di China.
Sekurang-kuranya, anda boleh melihat senarai kebenaran yang anda berikan pada setiap APP tanpa masalah.
Muka Seterusnya: Bateri, Lain-Lain, & Kesimpulan
[nextpage title=”Bateri, Lain-Lain, & Kesimpulan”]
Bateri beza hampir 1,000mAh
Agak mendukacitakan apabila Mi 9 SE miliki bateri nyata lebih kecil berbanding Realme 3 Pro. Anda boleh temui bateri berkapasiti 4,045mAh pada Realme 3 Pro walhal Mi 9 SE cuma ada 3,070mAh ataupun 31% lebih kecil.
Perbezaan hampir 1,000mAh ini pastinya memberikan hayat penggunaan yang ketara berbeza antara satu sama lain.
Tapi berita baik untuk pengguna kedua-dua telefon. Tak kiralah anda pilih yang mana, mereka ada teknologi pengecasan pantas tapi Realme 3 Pro menyokong pengecasan VOOC 3.0 yang lebih pantas iaitu 20W.
Realme memaklumkan yang VOOC 3.0 mengisi bateri 3 Pro dari 0 ke 50% dalam masa cuma 30 minit sahaja.
Untuk Mi 9 SE pual, menyokong QuickCharge 4+ yang mengepam masuk sehingga 18W tenaga tapi ia turut menyokong piawaian USB-C PD (Power Delivery) kerana ia hadir dengan port USB-C.
Port mikro-USB pada Realme 3 Pro juga menjadi bualan hangat dalam kalangan anda. Tapi saya berpendapat bahawa asalkan ia boleh mengecas pantas dan memindahkan data, ia sudah cukup buat saya.
Lain-lain
Ada beberapa perkara yang berbaloi untuk diketengahankan sebagai nilai tambah pada kedua-dua telefon. Yang paling ketara adalah audio jek 3.5mm hanya ada pada Realme 3 Pro. Untuk menggunakan headfon pada Mi 9 SE, penyesuai khas USB-C disediakan dalam kotak tapi anda akan kehilangan keupayaan mengecas sambil mendengar muzik serentak pada Mi 9 SE.
Tapi ia tidak bermakna Mi 9 SE tiada keunikannya yang tersendiri. Ia ada pemancar inframerah yang anda boleh gunakan untuk mengawal kelengkapan rumah seperti set-top box, TV, pendingin hawa, dan sebagainya.
Kemudian, pengimbas cap jari Mi 9 SE adalah daripada jenis yang terbina dalam paparan manakala Realme 3 Pro menggunakan pengimbas cap jari fizikal yang terletak di bahagian belakang.
Kesimpulan
Kedua-dua Realme 3 Pro dan Xiaomi Mi 9 SE adalah produk yang kompeten dan akan terjual macam goreng pisang panas tanpa ragu-ragu.
Mereka ada spesifikasi yang hampir serupa tapi perbezaan yang dimiliki mereka akan menentukan kepada siapakah telefon ini sesuai.
Jika anda sanggup korbankan prestasi kamera, anda boleh toleh ke Realme 3 Pro dan anda akan:
- jimat RM400
- bateri hampir 1,000mAh lebih besar
- audio jek
- slot kad khas untuk mikro-SD
Namun, jika anda beranggapan kamera adalah faktor terpenting, tanpa disangkal lagi Mi 9 SE adalah pilihan ada. Antara kelebihan Mi 9 SE:
- kamera nyata lebih hebat
- paparan AMOLED
- USB-C dengan sokongan PD
Adakah anda bersetuju dengan analisis ini? Jangan lupa untuk turunkan pendapat anda dalam ruangan komen nanti.