Mi 9T dan Redmi K20 ibarat pinang dibelah dua

Pembunuh flagship yang hangat diperkatakan kebelakangan ini, Redmi K20 akan berada di pasaran antarabangsa dengan nama yang berbeza di bawah jenama Xiaomi. Ia telah disahkan menggunakan nama Xiaomi Mi 9T dan akan diumumkan tidak lama lagi.

Rupa Xiaomi Mi 9T juga dijangka seperti pelanduk dua serupa dengan Redmi K20 apabila Roland Quandt, pembocor berita bersiri, telah berkongsi gambar yang dikatakan gambar rasmi Xiaomi Mi 9T, versi Pro.

Dari gambar tersebut, memang rupa Mi 9T Pro sangat serupa dengan Redmi K20 Pro yang telah dilancarkan di China. Ia memiliki skrin tanpa takuk dan lubang dengan kemasan belakang diinspirasikan dari rupa api yang marak.

Perbezaan paling ketara di dalam gambar ini ialah logo Redmi digantikan dengan logo Mi dalam susunan mendatar, bukan menegak. Malah, di bahagian kamera juga ditambah label 48MP AI Triple Camera. Untuk perbandingan, di bawah ialah gambar Redmi K20 Pro.

Roland turut berkongsi spesifikasi dua versi Mi 9T yang akan dilancarkan di Eropah, sememangnya tidak ada perbezaan dengan Redmi K20. Kedua-duanya memiliki skrim AMOLED berukuran 6.39-inci dengan resolusi HD Penuh+, serta pengimbas capjari di dalam skrin.

Ia menggunakan kamera hadapan 20MP yang tersimpan di dalam modul pop-up, bagi memberikan skrin penuh tanpa takuk dan lubang. Untuk kamera belakang, Mi 9T Pro akan datang dengan kamera utama 48MP F1.75 menggunakan sensor Sony IMX586, kamera ultra lebar 13MP F2.4 dan kamera telefoto 8MP F2.4 berkeupayaan 2x zum optikal.

Kuasa di dalam merupakan perbezaan utama Mi 9T standard dan Pro. Mi 9T standard akan dikuasakan pemproses Snapdragon 730 manakala versi Pro akan menggunakan pemproses Snapdragon 855. Kedua-duanya akan memiliki RAM 6GB atau 8GB dan storan dalaman bermula dari 64GB.

BACA  Banyak maklumat Redmi K20 dikongsi - Snapdragon 855, 3 kamera belakang dan kamera depan pop up

Bateri sebesar 4,000mAh akan terdapat di dalam kedua-dua peranti Mi 9T ini dan ia menyokong pengecasan pantas 27W melalui USB-C. Di samping mengekalkan jek audio 3.5mm, Roland turut menyenaraikan slot kad mikroSD terdapat di dalam Mi 9T, sesuatu yang tiada pada Redmi K20. Jika benar, ia merupakan kelebihan buat Mi 9T berbanding Redmi K20.

Terdapat tiga warna ditawarkan untuk Mi 9T, sama seperti Redmi K20 iaitu Flame Red, Glacier Blue dan Carbon Fibre Black. Tarikh pelancaran Mi 9T peringkat antarabangsa masih belum kedengaran tetapi menurut pengedar di Austria, peranti itu akan mula dijual pada 10 Jun 2019.

Di Malaysia, versi standard Mi 9T telah lulus ujian pengiktirafan SIRIM. Ini menandakan, ia akan dijual di Malaysia tidak lama lagi. Harganya masih belum diketahui tetapi ia pasti akan dijual lebih murah dari Mi 9 yang memiliki harga bermula dari RM1,699 untuk storan 64GB.

Sumber: Winfuture, @Rquandt