Pegawai Rumah Putih minta tangguh sekatan Huawei selama 2 tahun

Sekatan yang dikenakan kerajaan Amerika Syarikat (AS) terhadap Huawei diminta untuk ditangguhkan oleh pemangku Ketua Belanjawan Rumah Putih, Russell T. Vought. Beliau meminta agar sekatan ini dilewatkan pelaksanaannya selama 2 tahun.

Menurut Vought, pelaksanaan sekatan ini dalam masa setahun seperti yang dirancang, akan memberi beban yang teruk kepada perniagaan di AS. Beliau turut meminta agar larangan untuk penerima geran pinjaman persekutuan dari menggunakan peralatan Huawei, juga ditangguhkan. Ini kerana ia memberi kesan yang mendalam terhadap syarikat telekomunikasi luar bandar.

Pemangku Ketua Belanjawan Rumah Putih, Russell T. Vought

Langkah melewatkan sekatan ini adalah untuk memastikan syarikat yang berurusniaga dengan kerajaan AS atau penerima geran dan pinjaman persekutuan, mempunyai masa yang mencukupi untuk melepaskan diri mereka dari berurusan dengan Huawei atau syarikat teknologi China yang lain, terang Vought lagi.

Dalam surat Vought kepada Naib Presiden, Mike Pence dan beberapa ahli kongres lain, beliau meminta sekatan ditangguhkan selama 2 tahun bagi membolehkan syarikat yang menjual peralatan kepada Huawei dan syarikat yang bergantung kepada geran kerajaan, untuk memberi respon. Jika penangguhan ini diluluskan, sekatan terhadap Huawei akan dilaksanakan dalam masa 3 tahun.

Huawei merupakan syarikat penyedia peralatan telekomunikasi terbesar di dunia. Huawei terlibat dalam pembinaan rangkaian wayarles serta menjual peranti mudah alih di lebih 170 negara dan ini, pada pandangan kerajaan yang diterajui Donald Trump, sebagai satu ancaman keselamatan kepada AS.

Bagaimanapun, pelbagai syarikat di AS telah melobi untuk menentang langkah sekatan yang diumum Trump terhadap Huawei. Google sendiri dilaporkan, meminta sekatan itu ditarik balik kerana ia boleh membawa ancaman keselamatan lain yang lebih merbahaya.

Permohonan ini hanyalah salah satu dari permintaan jabatan di dalam kerajaan AS. Tetapi jika ia diluluskan, ia pasti memberi kelegaan kepada Huawei dan membuka jalan rundingan untuk permintaan penangguhan yang lain.

BACA  Semua yang anda perlu tahu tentang Google Stadia, platform strim games tanpa konsol dan komputer

Sumber: NYtimes, WSJ