fbpx

Gobind senaraikan pakej internet khusus untuk OKU

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh hari ini mengeluarkan kenyataan berterima kasih kepada syarikat telekomunikasi Malaysia yang mengambil langkah proaktif memperkenalkan pakej khusus buat Orang Kelainan Upaya (OKU).

Perkara ini bermula pada 10 Jun lepas di mana beliau melancarkan Program Latihan e-Dagang untuk OKU yang dianjurkan Pertubuhan Orang Cacat Cina Malaysia (POCCM) di Puchong. Beliau mendapati, program ini sangat bermanfaat untuk OKU kerana memberi mereka peluang untuk menggunakan internet sebagai platform berniaga.

Kenyataan Media Gobind Singh

Seorang peserta dalam program itu meminta beliau untuk menyediakan perkhidmatan internet khas untuk golongan OKU bagi mengurangkan kos mereka, sambil membantu dan memberi manfaat. Selepas itu, Gobind meminta syarikat telekomunikasi (telko) mempertimbangkan perkara ini.

Hari ini, Gobind mengumumkan tawaran yang telah dipersetujui oleh telko. Selain memperkenalkan pakej khusus OKU, diskaun antara RM10 ke RM15 diberikan untuk pelan lain.

Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile menawarkan diskaun untuk pelan pascabayar manakala YTL melalui Yes, menawarkan diskaun untuk pelan prabayar mudah alih.

Bagi talian tetap pula, diskaun antara RM 10 ke RM44 diberi. Telekom Malaysia (TM) menawarkan diskaun sehingga RM44 untuk pakej Streamyx dan diskaun RM10 untuk pakej Unifi. Celcom pula menawarkan jalur lebar tetap wayarles dengan diskaun RM10.

Bagi menikmati pakej khas ini, warga OKU perlu mengemukakan dokumen sokongan seperti kad pengenalan dan kad OKU. Bagi penjaga warga OKU, mereka yang layak boleh mengemukakan bukti sebagai penjaga. Proses pendaftaran boleh dilakukan di cawangan telko berkenaan dan tiada penalti dikenakan untuk bertukar dari pelan biasa ke pakej khas OKU.

Selain dari pakej ini, TuneTalk juga menyediakan pakej khusus untuk OKU dan warga emas. Pelan TuneTalk VIP mengenakan caj RM10/bulan yang memberikan 2GB data dan panggilan tanpa had sesama TuneTalk.

BACA  LTE lebih luas dan penggunaan data meningkat, memberi hasil positif buat Celcom

Sumber: Gobind Singh