fbpx

Galaxy A berkuasa Snapdragon 855 dikesan

Tahukah anda, pada awalnya Galaxy A80 mahu diperkenalkan sebagai Galaxy A90. Malah Samsung Indonesia pernah memuat naik gambar dengan perkataan tertera, Notchless Infinity screen only available on Galaxy A90. Tetapi ia kemudiannya dilancarkan dengan nama Galaxy A80.

Kemudian, satu perkara ditemui di Geekbench. Sebuah peranti Samsung Galaxy siri-A dengan nombor model SM-A908N telah membuat ujian tanda aras. Nombor model SM-A digunakan untuk kelurga Galaxy A dan ini berkemungkinan ialah Galaxy A90.

Walaupun pemprosesnya tidak dinyatakan dengan jelas, markah yang diperoleh setaraf dengan Xiaomi Mi 9, Redmi K20 Pro dan Galaxy S10 yang menggunakan cip Qualcomm. Bermakna, ini adalah pemproses Snapdragon 855.

Jika benar, ini adalah kali pertama Samsung melengkapi barisan kelas pertengahan dengan pemproses berkuasa tinggi. Cuma yang pelik, peranti yang diuji ini memiliki RAM 6GB sahaja. Mungkin ini untuk ujian kerana Galaxy A70 dan Galaxy A80 yang dijual di Malaysia memiliki RAM 8GB.

Dalam satu berita lain, Galaxy A90 kini sedang diuji di Korea bersama sambungan 5G dan kamera utama 32MP. Satu model lain dengan nombor SM-A908B dikatakan sedang menuju ke Eropah dan dikatakan memiliki bateri 4,500mAh. Menurut Sammobile, huruf B diakhirnya merujuk kepada model 5G untuk pasaran antarabangsa.

Adakah Galaxy A90 akan menampilkan inovasi baru seperti kamera berputar Galaxy A80, atau prestasi lebih tinggi sahaja? Atau ia mungkin telefon pintar lebih mampu milik dengan rangkaian 5G dari Samsung. Kerana setakat ini, pengeluar meletakkan rangkaian 5G di dalam model terbaik mereka sahaja.

Sumber: Sammobile

BACA  TuneTalk mohon maaf, beri 3GB data percuma di Hari Malaysia