fbpx

Pemandu e-hailing diberi masa tambahan 3 bulan untuk dapatkan lesen PSV

Seperti yang dijanjikan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini mengumumkan keputusan kerajaan selepas mesyuarat kabinet diadakan hari ini. Kerajaan membenarkan pemandu e-hailing yang masih belum melengkapkan syarat yang ditetapkan, untuk beroperasi selama tiga bulan lagi dari hari ini.

Pengumuman ini pasti melegakan ramai pemandu e-hailing yang masih belum menerima Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) selepas tarikh akhir ditetapkan pada hari ini, 12 ulai 2019. Beberapa hari lepas, Grab memaklumkan hanya 10% pemandu mereka yang aktif telah memiliki lesen PSV, manakala MyCar pula tidak sampai 10% pemandu mereka sudah menerima lesen PSV.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (tengah)

Menurut Anthony, penguatkuasaan secara “soft-landing” selama 3 bulan ini bertujuan mendidik dan memberi nasihat kepada pemandu e-hailing untuk mendapatkan lesen PSV. Bermakna pemandu e-hailing kini perlu mendapatkan lesen PSV sebelum 12 Oktober 2019.

Penguatkuasaan lesen PSV telah diumumkan kerajaan setahun yang lepas, tetapi dijelaskan cara pelaksanaannya pada bulan November. Pemeriksaan kesihatan, kelas latihan 6 jam bersama ujian dan pemeriksan kenderaan untuk pemandu e-hailing mula dilaksanakan pada 1 April 2019.

Jarak masa 3 bulan dari 1 April hingga 12 Julai dikatakan tidak mencukupi untuk menampung permintaan lebih dari 200,000 pemandu aktif e-hailing di Malaysia. Malah ada pemandu mengadu terlalu mahal untuk menyelesaikan semua prosedur sehingga memaksa Grab memberi subsidi sehingga 70% kepada pemandu agar mereka boleh memandu e-hailing secara sah di Malaysia.

Dengan penangguhan penguatkuasaan undang-undang ini, tiada sebab lagi untuk pemandu menangguhkan masa untuk mendapatkan lesen. Perkara ini dilaksanakan bukan sahaja untuk melindungi keselamatan penumpang dan pemandu e-hailing, tetapi memberi peluang yang sama seperti pemandu teksi, yang mendakwa mereka dikenakan peraturan ketat berbanding pemandu e-hailing yang boleh bekerja tanpa mengikut undang-undang pengangkutan awam di Malaysia.

BACA  Grab Malaysia Intai Peluang Untuk Lancarkan GrabBike

Sumber: Astro Awani