fbpx

Mi A3 tiba di tangan dan kami bongkar semua info tentangnya

Seperti dimaklumkan sebelum ini, Mobile 2 Go telah mula menjual set import Mi A3 hari ini dan kami berjaya mendapatkan satu unit dari mereka. Terima kasih kami ucapkan kepada Mobile 2 Go.

Dengan pantas, kami membongkar kotak Mi A3 ini untuk mendapatkan spesifikasi rasmi tentang Mi A3, jauh lebih awal sebelum ia dilancarkan di dunia. Unit yang datang di dalam tangan kami ini berwarna Kind of Grey. Macam warna Google Pixel pula.

Dari belakang kotak, ia membariskan beberapa maklumat seperti tiga kamera belakang dengan kamera AI 48MP, pastinya merujuk kepada kamera utama ditambah kamera bersudut ultra lebar. Kamera hadapan pula 32MP.

Bateri sebesar 4,030mAh di pasang di dalamnya dan ia menyokong pengecasan pantas 18W melalui USB-C. Skrin Mi A3 sebesar 6.088-inci dari jenis AMOLED dengan takuk kecil di atas. Skrin ini juga memiliki pengimbas capjari pantas di dalamnya.

Kuasa Mi A3 digerakkan oleh pemproses Qualcomm Snapdragon 665 menggunakan proses 11nm. Telefon yang kami terima ini memiliki RAM 4GB dan storan dalaman 64GB. Sudah pasti, logo Android One turut tertera menunjukkan ia menggunakan Android asli, bukan MIUI.

Apabila dibuka kotak, dapat dilihat skrin bertakuk kecil pada telefon ini, serta tiga kamera belakang. Badan belakangnya pula diperbuat dari kaca.

Di dalam kotak ini, terdapat juga kabel USB-C dan kepala pengecas 10W, bukannya 18W. Bermakna anda perlu membeli pengecas lain untuk pengecasan pantas.

Telefon Mi A3 ini masih mengekalkan jek audio 3.5mm bersama pemancar infra merah di atasnya. Di bawah, jeriji speaker mengapit port USB-C. Slot kad pula dari jenis hibrid, sedia menerima kad mikroSD atau dua kad sim nano.

Satu perkara yang mengecewakan di Mi A3 ini ialah resolusi skrinnya, hanya HD+. Bukan HD Penuh+. Tetapi ia masih dari jenis AMOLED dan memiliki pengimbas capjari di dalam skrin.

BACA  Xiaomi Mi A3 Hadir Dalam Dua Varian Pada Harga Bermula RM899

Untuk kamera, di belakang ia dilengkapi kamera utama 48MP F1.8, kamera ultra lebar 8MP F2.2 dan kamera pengesan kedalaman. Kamera hadapan pula 32MP F2.0.

Beberapa maklumat tambahan yang kami temui pada Mi A3 ini ialah seperti Bluetooth 4.2 dan sokongan WiFi 5GHz. Ia juga menjalankan sistem operasi Android 9.0 Pie dengan kemaskini keselamatan Jun 2019.

Selepas habis menelaah tentang Mi A3, dengan ini kami mengesahkan bahawa ia adalah sama dengan Xiaomi CC9e. Semua spesifikasinya memang serupa dan ini agak mengecewakan. Mi A3 ini seperti versi turun taraf berbanding Mi A2, terutama di skrin HD+ dan pengecas 10W.

Tetapi, ini mungkin cara Xiaomi untuk memperkenalkan Mi A3 lebih hebat, dengan spesifikasi yang sama seperti Xiaomi CC9. Mungkinkah ia akan dipanggil Mi A3 Pro?

Xiaomi secara rasminya akan melancarkan Mi A3 di Sepanyol esok, dan di Perancis pada hari Khamis. Masih tiada khabar tentang ketibaannya di Malaysia tetapi ia pasti tidak lama lagi.