fbpx

Wiko Sunny4 telefon pintar termurah dilancar tahun ini

Pada April lepas, Wiko Malaysia memperkenalkan telefon pintar yang amat mampu milik, Wiko Y60 dengan harga cuma RM269. Jika anda mencari telefon pintar yang lebih murah, Wiko Malaysia kini membawakan Sunny4, dengan kuasa Android Go pada harga hanya RM199.

Sudah pasti, dengan harga lebih rendah membuatkan Sunny4 memiliki perkakas berkuasa lebih rendah dari Y60. Paling ketara, Sunny4 tidak menyokong rangkaian 4G. Hanya sehingga HSPA+, tetapi masih mampu menjalankan dua sim.

Bagi melancarkan penggunaannya, Sunny4 tidak menggunakan sistem operasi Android biasa, sebaliknya ia menjalankan sistem operasi Android Go. Cuma berbeza dengan Y60 yang menggunakan Android Go 9 Pie, Sunny4 menggunakan Android Go 8.0 Oreo.

Prestasinya juga ditahap mencukupi. Ia menggunakan pemproses Mediatek MT6580 berasaskan 4-teras Cortex A7 berkelajuan 1.3Ghz. RAM pula hanya 1GB tetapi storannya sebesar 16GB dan sedia menerima kad mikroSD sehingga 32GB untuk storan tambahan.

Skrin Sunny4 sebesar 5-inci pada resolusi qHD (854×480). Baterinya pula berkapasiti 2,200mAh dan dicas melalui port mikroUSB. Ia menyokong WiFi 802.11 b/g/n, Bluetooth 4.2 dan memiliki jek audio 3.5mm.

Untuk kamera, Sunny4 dilengkapi kamera belakang 5MP bersama LED Flash, serta kamera hadapan 5MP juga dengan LED Flash.

Wiko Sunny4 dijual di Malaysia bermula hari ini, 29 Julai 2019 dengan harga RM199. Terdapat tiga warna disediakan iaitu Emas, Biru dan Kelabu. Ia datang bersama jaminan selama setahun serta penggantian 1-ke-1 dalam masa 120 hari dari tarikh pembelian.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web Wiko Malaysia atau Facebook Wiko Malaysia.

BACA  Kedai Konsep Pertama Realme Di Malaysia Mulakan Operasi Di The Mines