fbpx

Amerika beri 90 hari lagi penangguhan sekatan kepada Huawei

Tarikh 19 Ogos bermakna tamatnya tempoh 90-hari penangguhan sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Huawei. Hari ini, AS mengumumkan mereka memberi 90 hari lagi tambahan penangguhan sekatan tersebut. Pekara ini diumumkan oleh Setiausaha Perdagangan AS, Wilbur Ross.

Penangguhan ini dilihat bertentangan dengan hasrat Presiden AS, Donald Trump yang menyatakan pada minggu lepas, tidak akan menangguhkan lagi sekatan terhadap Huawei.

Trump (kiri) bersama Presiden China, Xi Jinping (kanan)

Dalam kenyataan tersebut, Ross menjelaskan, tambahan 90 hari ini diberikan untuk memberi masa kepada pengguna di seluruh AS masa untuk beralih dari menggunakan produk Huawei, kerana ia memberi ancaman kepada keselamatan negara. Walaupun kerajaan mendesak orang ramai untuk beralih dari menggunakan produk Huawei, kerajaan sedar bahawa sedikit masa lagi diperlukan untuk memastikan agar tidak berlaku sebarang ganggunan.

Walaupun sekatan ini ditangguhkan lagi, AS telah menambah 46 lagi syarikat yang berkaitan dengan Huawei ke dalam senarai hitam mereka. Ini menjadikan lebih 100 syarikat berkaitan Huawei termasuk dalam senarai sekatan terbaru.

Tambahan 90 hari ini menyaksikan penangguhan sekatan ini berlangsung sehingga 18 November 2019. Perkara ini membenarkan Huawei untuk terus menyelenggara rangkaian telekomunikasi sedia ada dan memberi kemaskini perisian kepada peranti keluaran Huawei.

Saham syarikat pengeluar cip AS telah meningkat selepas pengumuman ini. Antaranya ialah Qualcomm, Intel dan Micron Technology. Industri semikonduktor AS sebelum ini telah melobi untuk menjual perkakas yang tidak sensitif kepada Huawei, kerana sekatan ini boleh menjejaskan pendapatan mereka.

AS telah menuduh Huawei terlibat dalam pelbagai kesalahan. Antaranya melanggar sekatan perdagangan dengan Iran, serta menggunakan rangkaian telekomunikasi mereka sebagai pengintip kerajaan China. Huawei bagaimanapun menafikan semua tuduhan tersebut dan meminta AS untuk membuktikannya. Bagaimanapun, AS dilihat tidak melayan permintaan tersebut.

BACA  Huawei Mate30 masih boleh guna Android tetapi tanpa Google di dalamnya

Banyak syarikat di AS telah memohon lesen khas dari kerajaan AS untuk berurusniaga dengan Huawei. Ross mengatakan, beliau telah menerima lebih 50 permohonan dan menjangkakan lebih banyak di masa kana datang. Tetapi masih belum ada yang diluluskan lagi.

Tambahan penangguhan sekatan ini dilihat bukan perkara mengejutkan kerana syarikat telekomunikasi memerlukan masa yang panjang untuk mencari penyedia perkakas yang lain, memandangkan Huawei merupakan syarikat penyedia rangkaian telekomunikasi terbesar di dunia. Pada tahun 2018, Huawei membelanjakan USD11 bilion hanya di AS, dari keseluruhan USD70 bilion perbelanjaan pembelian perkakas mereka.

Sumber: Reuters