fbpx

Telefon dengan kamera aksi Motorola One Action telah diiktiraf SIRIM

Baru-baru ini, Motorola telah memperkenalkan sebuah telefon pintar dengan kamera seperti GoPro. Ia digelar sebagai Motorola One Action, hadir dengan kamera aksi ultra lebar pertama di telefon pintar. Ini membolehkan rakaman video mendatar dibuat dengan telefon dipegang menegak.

Telefon ini kini telah ditemui di pengkalan data SIRIM, dengan nombor model XT2013-2. Ia menyokong pelbagai band LTE serta Wifi 802.11ac 5Ghz. Selain itu, ia juga menyokong dwi-sim.

Setakat ini masih belum ada berita sama ada ia akan dijual di Malaysia atau tidak. Tetapi Motorola Malaysia telah kembali menjual telefon pintar di Malaysia awal tahun ini, dengan stor rasmi terdapat di Shopee dan Lazada.

Dari segi spesifikasi, Motorola One Action memiliki skrin IPS HD Penuh+ berukuran 6.3-inci, dengan lubang di kiri untuk kamera depan. Ia dikuasakan pemproses Samsung Exynos 9609 8-teras, bersama RAM 4GB dan storan 128GB. Ia turut menerima kad mikroSD untuk storan tambahan.

Terdapat tiga kamera di belakangnya, iaitu kamera utama 12MP F1.8, kamera pengesan kedalaman 5MP serta kamera aksi khusus 16MP dengan sudut pandang selebar 117-darjah. Walaupun kamera utama 12MP boleh merakam video 4K, kamera aksi 16MP hanya boleh merakam sehingga HD Penuh sahaja.

Bateri di dalam telefon ini sebesar 3,500mAh dan ia menyokong pengecasan 10W melalui USB-C. Ia menjalankan sistem operasi Android 9 Pie tetapi di bawah program Android One, ia dijamin menerima kemaskini keselamatan selama 3 tahun.

Sumber: SoyaCincau

BACA  Israel Halang Anda Lawati Palestine? Gunakan APP Ini Untuk Buat Lawatan Maya