fbpx

Set rasmi ROG Phone 2 di Malaysia akan lebih berkuasa dari versi China

Ketibaan telefon gaming ROG Phone 2 semakin dirasai di Malaysia. Ia telah dijual di China dengan kerjasama Tencent dan tempahan awal untuk set Malaysia telah dibuka oleh salah satu peniaga di Malaysia, DirectD.

Malah, set import dari China untuk ROG Phone 2 ini telah pun mula dijual di Malaysia. Dalam pada itu, banyak persoalan yang timbul sama ada Edisi Tencent yang dilihat dijual murah di China akan turut dijual di Malaysia.

ASUS Malaysia tampil menjawab persoalan ini untuk menerangkan bahawa set rasmi Malaysia adalah berbeza dari Edisi Tencent di China. Mereka juga menyatakan, set rasmi ini akan tiba ke Malaysia pada awal suku ke-empat tahun 2019.

Untuk pengetahuan anda, Edisi Tencent ROG Phone 2 di China di jual pada harga RMB3,499 (~RM2,073). Ia disertakan RAM 8GB dan storan dalaman 128GB sahaja. Ini adalah salah satu perkara yang membezakannya dengan set rasmi Malaysia.

Untuk Malaysia, ASUS akan membawakan ROG Phone 2 yang lebih hebat, dengan RAM 12GB bersama storan 512GB dan 1TB. Dari segi fizikal, set Malaysia akan memiliki badan belakang diperbuat dari kaca, berbeza dengan Edisi Tencent yang menggabungkan kaca dan besi di belakang.

Untuk rangkaian, versi Malaysia menyokong lebih banyak band FDD-LTE, serta sokongan band TD-LTE, WCDMA dan TS-SCDMA yang lebih serasi dengan rangkaian telekomunikasi di Malaysia. Set Malaysia juga menyokong kelajuan LTE yang lebih pantas, CAT18 4×4 MIMO dengan kelajuan muat naik sehingga 211Mbps dan muat turun sehingga 1.2Gbps.

Lebih menarik lagi, set Malaysia menyokong penggunaan lebih banyak aksesori seperti WIGIG Mode (802.11ad) dan Aero Case. Malah, pembeli di Malaysia akan menerima kepala pengecas 30W dan kabel USB-C ke USB-C. Selain itu, kotak ROG Phone 2 akan datang dalam bentuk prisma, sama seperti ROG Phone yang asal.

BACA  Oppo umum hadiah percuma untuk tempahan awal A9 2020 sehari sebelum dilancar

Spesifikasi yang dinyatakan oleh ASUS Malaysia ini selari dengan maklumat yang diberikan DirectD untuk tempahan awal ROG Phone 2. DirectD menyatakan, ROG Phone 2 set rasmi Malaysia akan datang dengan RAM 12GB serta storan dalaman 512GB dengan harga RM3,xxx dan storan 1TB pula RM4,xxx.

Dengan spesifikasi yang lebih berkuasa dan perkakas yang lebih hebat, sudah pasti ROG Phone 2 akan dijual lebih mahal di Malaysia, berbanding Edisi Tencent di China.

ROG Phone 2 sememangnya sebuah telefon pintar gaming yang sangat hebat. Ia memiliki skrin AMOLED dengna kadar segar semula 120Hz, diapit oleh dua speaker stereo yang menembak bunyi terus ke muka pengguna. Di dalam ia memiliki kuasa pemproses terbaik, Snadpragon 855+ bersama RAM dari jenis LPDDR4X dan storan UFS3.0 yang sangat pantas.

Selain sistem penyejukan yang canggih, ROG Phone 2 memiliki bateri 6,000mAh yang sangat besar. Lebih baik lagi, ia masih mengekalkan jek audio 3.5mm ketika trend pengeluar telah menghapuskannya di telefon pintar terbaru.