fbpx

Pixel 4 XL akan miliki skrin QuadHD lebih kecil dan pemproses terbaik

Apple dah pun melancarkan telefon pintar terbaru mereka, siri iPhone 11. Kini kita masih menantikan pula telefon pintar terbaru keluaran Google, Pixel 4. Google telah beberapa kali berkongsi petunjuk tentang telefon ini, tetapi masih belum menyatakan bilakah ia akan dilancarkan.

Sementara itu, muncul pula maklumat yang terbocor mengenai Pixel 4 telah disebarkan. Di mana ia menunjukkan aplikasi maklumat perisian dan perkakas, dipaparkan menerusi telefon yang dikatakan Pixel 4 XL.

Aplikasi tersebut menyatakan, Pixel 4 XL memiliki pemproses terbaik dari Qualcomm, Snapdragon 855. Tetapi nampaknya bukan jenis 855+ yang memiliki kelajuan teras lebih tinggi.

Pixel 4 XL juga akan memiliki skrin seluas 6.23-inci, lebih kecil sedikit berbanding Pixel 3 XL yang menggunakan skrin 6.3-inci. Tetapi resolusinya masih tinggi, QuadHD+ 3040×1440 dalam nisbah 19:9. Ini saja maklumat yang dapat ditafsirkan dari gambar tersebut.

Perkara lain yang pasti pada Pixel 4, ialah modul kamera belakang empat segi sama. Sedikit sebanyak, ia amat serupa dengan kedudukan kamera belakang di siri iPhone 11 yang baru dilancarkan hari ini.

Dari gambar yang dikongsi sendiri oleh Google, kelihatan seperti dua kamera terdapat di belakang ini. Perkara ini masih belum dapat disahkan, kerana ini mungkin merujuk kepada Pixel 4 yang kecil. Ada ura-ura mengatakan Pixel 4 XL akan dipasang 3 kamera belakang.

Selain itu, Pixel 4 dikhabarkan tidak akan lagi menggunakan takuk yang maha tebal seperti Pixel 3, tetapi kembali kepada bingkai tebal di atas skrin. Ini kerana ia akan meletakkan teknologi Projek Soli ke dalam Pixel 4. Ia merupakan sebuah teknologi yang boleh mengesan pergerakan dengan amat tepat dan jitu. Projek Soli pertama kali diperkenalkan semasa Google I/O 2015.

BACA  PROMO: Diskaun hingga RM570 untuk telefon dan aksesori Honor sempena 11.11

Sudah pasti, Pixel 4 kelak akan dikuasakan sistem operasi terbaru Android 10. Tetapi tarikh pelancarannya masih misteri. Adakah ia boleh memberikan rasa teruja yang tinggi, seperti yang dipertontonkan Tim Cook di majlis pelancaran iPhone 11?

Sumber: 91mobiles, PhoneArena