fbpx

LTE lebih luas dan penggunaan data meningkat, memberi hasil positif buat Celcom

Celcom telah berkongsi laporan prestasi mereka bagi suku kedua tahun 2019 (Q219). Secara umum, Celcom telah mencatat peningkatan pendapatan di samping menduduki tempat pertama dalam beberapa kategori di dalam laporan Opensignal bagi suku pertama tahun ini.

Celcom telah meningkatkan populasi liputan 4G kepada 93% dan liputan 4G LTE-A kepada 81%, berbanding 89% dan 76% pada suku kedua 2018 (2Q18). Sehingga kini, rangkaian LTE Celcom dengan populasi liputan 96%, terdapat di 10 negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Johor, Perak. Ia meliputi lebih daripada 25 bandar utama seperti Lembah Klang, Putrajaya, Georgetown, Ipoh, Johor Bahru dan banyak lagi.

Celcom juga memiliki lebih daripada 11,000 tapak pemancar di seluruh negara, dengan 9,000 darinya ialah tapak LTE. Penggunaan data purata juga meningkat kepada 13.3GB sebulan bagi setiap pengguna pada 2Q19, disumbang oleh penggunaan data bagi penstriman video, rangkaian sosial dan permainan mudah alih.

Laporan analisis bebas mengenai penggunaan internet mudah alih oleh Opensignal pada April 2019, meletakkan Celcom di tempat pertama dalam kategori Ketersediaan 4G dan Pengalaman Muat Naik Terpantas di Malaysia. Celcom berkongsi tempat pertama bersama Maxis dalam kategori Pengalaman Menstrim Video. Analisis ini direkodkan di antara 1 Disember 2018 sehingga 28 Februari 2019.

Pendapatan positif Celcom dicatatkan menerusi kenaikan RM1 Purata Pendapatan Setiap Pengguna (ARPU) pascabayar kepada RM85 dan peningkatan ARPU Prabayar sebanyak RM3 menjadi RM37 berbanding dengan suku sebelumnya. Diikuti dengan perbelanjaan berdisiplin Celcom, sehingga 1H19, EBITDA meningkat sebanyak 4.7%, manakala aliran tunai bebas (Free Cash Flow) sebanyak 5% dan PATAMI sebanyak 11.7%.

Idham Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, berkata “Celcom akan terus melabur dalam penggunaan teknologi end-to-end seperti 4T4R multiple input, multiple output (MIMO), Carrier Aggregation, 256 Quadrature Amplitude Modulation (QAM) dan banyak lagi di tapak menara LTE kami, ke arah penyampaian penyambungan internet dan pengalaman digital yang terbaik. Celcom juga mencatatkan 34% peningkatan trafik data pada asas tahunan (YoY) dengan 265mil GB pada 2Q19 dan perkhidmatan video menjadikan lebih daripada 50% penggunaan data keseluruhan, ini terhasil daripada pengalaman terbaik di rangkaian kukuh kami dan peningkatan penggunaan data oleh pelanggan Celcom.”

BACA  Laptop Zenbook 13/14/15 terbaru kekal ringan dan nipis dengan tambahan skrin kedua
Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi

“Kami akan sentiasa bersama negara dalam mengubah aspirasi menjadi kenyataan, memanfaatkan segala teknologi dan perkhidmatan baru demi kepentingan semua, berusaha untuk memajukan masyarakat digital dan mempertingkatkan perkhidmatan pelanggan, menyokong pembangunan transformasi digital negara selaras dengan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) untuk pertumbuhan liputan 98% jalur lebar berkelajuan minimum 30Mbps di semua kawasan pada tahun 2023 di seluruh negara,” tambah Idham.

Apabila ditanyakan berkenaan kegagalan penggabungan Axiata dan Telenor, Idham menjawab, perniagaan berjalan seperti biasa. Sama ada penggabungan berjaya atau tidak, Celcom akan tetap meneruskan kerja dan memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan seperti sedia ada.