fbpx

Vivo V17 Pro Di Malaysia Ada 6 Kamera Untuk Gambar Sempurna

Ini adalah telefon Vivo yang ada paling banyak kamera. Vivo V17 Pro kini anda boleh belinya di Malaysia dan uniknya telefon ini adalah ia ada kamera belakang 48MP dan kamera depan 32MP. Jarang ada telefon kelas pertengahan yang hadir dengan konfigurasi sebegitu.

Tidak cukup dengan satu, kamera selfie 32MP itu turut ditemani kamera bersudut pandang ultralebar 8MP untuk swafoto lebih luas. Hasilnya, mekanisme pop-up pada telefon ini agak lebar, nampak lagi lebar daripada yang ada pada ZenFone 6.

Tentang kamera belakang pula, ia ada empat buah kamera belakang. Selain kamera 48MP, ia ada kamera ultralebar 8MP dan dua kamera 2MP untuk makro dan bokeh. Konfigurasi ini macam sudah jadi standard untuk kebanyakkan telefon 2019.

Di bahagian muka, Vivo V17 Pro tampilkan paparan tanpa notch dengan paparan sebesar 6.44″ beresolusi FHD+. Vivo menggelar paparan ini Ultra FullView dan nampak cantik sebab bingkainya seakan sama tebal di semua bahagian.

Beralih ke papan utama, telefon ini dikuasakan Snapdragon 675. Ia bukanlah SoC yang baru kerana cip ini sudahpun diguna pada Vivo V15 tempoh hari. Telefon lain yang turut gunakan cip yang sama adalah seperti Samsung Galaxy A70 dan Redmi Note 7 Pro.

Hanya ada satu konfigurasi RAM dan storan ada untuk telefon ini. Anda beroleh RAM sebesar 8GB dan storan 128GB. Malangnya, tiada slot mikro-SD hadir jika anda ingin memperluas storannya.

Membekalkan tenaga pada telefon ini adalah bateri sebesar 4,100mAh, agak besar untuk telefon sebesar ini. Bateri boleh dicas pantas menggunakan pengecas 18W.

Telefon pintar Vivo V17 Pro boleh dibeli di Malaysia bermula hari ini, dengan harga jualan RM1,699.

BACA  Kerangka Projek Pendigitalan Kad Pengenalan Sedang Dibangunkan