fbpx

Perkhidmatan mudah alih Maxis telah pulih sepenuhnya pagi ini

Semalam, pengguna Maxis berhadapan gangguan rangkaian di mana talian internet, panggilan dan SMS tidak dapat digunakan. Masalah tersebut dikesan sejak awal pagi semalam dan kelihatan telah kembali pulih pagi ini.

Maxis menerusi twitternya pagi ini memaklumkan, perkhidmatan mereka telah dipulihkan sepenuhnya dan akan terus memantau keadaan untuk memastikan ia benar-benar stabil. Maxis meminta maaf atas apa yang terjadi dan berterima kasih kepada pengguna yang bersabar dan memahami.

Buat masa ini, Maxis tidak menyatakan apakah punca masalah gangguan rangkaian ini berlaku. Sewaktu isu ini terjadi, pengguna Maxis tidak dapat berhubung ke rangkaian 4G, malah ada yang hanya dapat bersambung ke rangkaian EDGE sahaja.

Dalam waktu gangguan ini, pengguna Maxis tidak dapat bersambung ke internet dengan stabil. Malah, panggilan dan SMS juga tidak dapat digunakan.

Perkara ini turut memberi kesan kepada pengguna prabayar Hotlink, serta penyedia perkhidmatan lain yang menggunakan rangkaian Maxis, seperti Ookyo.

Diharapkan, Maxis dapat tampil menerangkan punca ia terjadi dan membentangkan pelan alternatif bagi mengelakkan kejadian sama berulang. Lebih baik lagi, Maxis memberikan rebat atau hadiah buat pengguna kerana tidak dapat menggunakan perkhidmatan hampir seharian.

Contohi Yoodo yang memberikan pengguna 3GB data percuma sebagai hadiah kerana gangguan rangkaian mereka.

BACA  Xiaomi derma 100 unit mesin pembersih udara ke sekolah-sekolah