fbpx

Maxis meluaskan capaian jalur lebar tetap di Sabah bersama Celcom Timur

Capaian jalur lebar tetap Maxis di Sabah bakal diperluaskan apabila Maxis dan Celcom Timur (Sabah) Sdn. Bhd. (CT Sabah) mencapai persetujuan untuk bekerjasama menyediakan akses lebih luas kepada rakyat dan perniagaan di Sabah. Ia akan dicapai melalui penyediaan Perkhidmatan Rangkaian Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB).

Perjanjian Akses antara kedua pihak ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut, manakala CT Sabah diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Nazaruddin Bin Abdul Rahim. Majlis perjanjian ini turut dihadiri oleh YB Datuk Dr. Haji Jaujan Bin Haji Sambakong, Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, yang mewakili Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal.

Turut bersama mengiringi Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah ialah YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda, Pengerusi Maxis dan Encik Ahmad Rizal Hj Dahli, Pengerusi CT Sabah.

Dalam kerjasama ini, Maxis akan mendapat akses penuh kepada rangkaian fiber optik CT Sabah. Ia sekaligus membolehkan Maxis menawarkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada pengguna pada kadar yang menarik.

Bermula 1 November 2019, Maxis akan mula menawarkan pelan fiber sedia ada kepada lebih banyak lagi kediaman dan perniagaan di Sabah, yang menduduki kawasan yang mempunyai infrastruktur fiber optik CT Sabah.

Maxis juga akan menerima akses kepada teknologi perkakasan dan perisian terkini dengan sistem pemantauan rangkaian 24/7. Di samping itu, Maxis akan dibantu kakitangan sokongan teknikal CT Sabah yang berdedikasi dan kompeten untuk membantu pelanggan dalam pengurusan rangkaian, dengan purata Minima Masa untuk Pulih (MTTR) dalam masa dua jam.

BACA  Gangguan data & panggilan di Celcom beri kesan kepada Yoodo, TuneTalk dan MVNO di bawahnya

Perjanjian hari ini merupakan satu lagi langkah penting dari Maxis untuk meluaskan capaian jalur lebar tetap di Malaysia Timur. Pada Disember 2018, Maxis telah menandatangani Surat Persefahaman dengan SACOFA untuk Perkhidmatan Rangkaian Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) di Sarawak. Sejak itu, Maxis melancarkan pelan fibernya yang sedia ada kepada lebih ramai rakyat Sarawak.

Untuk maklumat lanjut tentang jalur lebar fiber Maxis, layari laman web www.maxis.com.my/fibrenation.